KUANTAN : Ribuan gelinciran tanah dan aliran puing menjadi punca utama fenomena Banjir Puing di kawasan lembah tanah tinggi di Lembangan Sungai Bentong, Pahang dan Sungai Langat, Selangor yang hulu sungainya mengalir dari Banjaran Titiwangsa.
Faktor pencetus gelinciran tanah dan aliran puing yang berlaku hampir serentak ialah hujan lampau lebat berpanjangan sejak beberapa hari sebelum kejadian bencana Banjir Puing pada 18 dan 19 Disember 2021.
Hujan lampau lebat ini berpunca daripada dua fenomena bergabung iaitu kehadiran Lekukan Tropika yang berlegar di pertengahan Semananjung Malaysia dan Luruan Monsun Timur Laut yang membawa air yang banyak dari Laut China Selatan.
Ketua Kluster, Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM) dan Felo Utama, UKM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, tinjauan udara selama lebih du jam di sepanjang lembangan Sungai Benus, Sungai Pertak, Sungai Timbul, Sungai Kerau, Sungai Telemong dan Sungai Bentong membuktikan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana hingga sangat besar tertabur secara meluas.
Tanah runtuh yang besar boleh dianggarkan bersaiz panjang 150 meter (m), lebar 50m dan tebal 5 hingga 10m, sementara Aliran Puing yang bergerak dari puncak pergunungan hingga ke kaki lembah tanah tinggi ada yang mencapai sehingga 5 kilometer panjang.
“Semua ini menjadi sumber puing yang menghasilkan Banjir Puing yang luar biasa besarnya. Kami menganggarkan bahan runtuhan yang membentuk bahan puing boleh mencapai sehingga 10 juta meter padu.
“Dalam keadaan curahan hujan yang ekstrem, lapisan tanah menjadi lampau tepu, cerun curam kehilangan kestabilan dan runtuh pada masa yang hampir sama. Faktor tambahan meliputi faktor geologi (jenis tanah dan batuan, bentuk lembangan dan struktur batuan) dan faktor bukan geologi (pembersihan hutan di kawasan bertebing curam; potongan cerun untuk membina prasarana, termasuk jalan raya; dan pembukaan tanah untuk pertanian),” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, tinjauan udara menunjukkan semua jenis guna tanah di kawasan cerun curam terlibat dengan kejadian gelinciran tanah dan aliran puing antaranya ialah hutan tadahan air (perlindungan), hutan sekunder dan kawasan pertanian (getah, kelapa sawit dan buah-buahan).
“Aliran Puing adalah fenomena biasa yang sering berlaku di kawasan pergunungan, bermula pada cerun yang curam hingga di kaki pergunungan. Aliran puing mudah di cetus pada keadaan hujan lebat berpanjangan dan lazimnya dikaitkan dengan fenomena banjir.
“Apabila terjadi gelinciran tanah (tanah runtuh) di kawasan pergunungan, bahan runtuhan yang tepu air akan bercampur dengan air yang banyak di dalam alur sungai, membentuk bahan puing yang berkelikatan tinggi (berkelakuan seperti cecair).
“Bahan aliran mempunyai kuasa yang tinggi, berupaya menghakis apa sahaja di laluannya, menjadikan bahan puing bertambah banyak dan kuasa pemusnah yang semakin tinggi,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA