MARANG- Disebabkan terlalu teruja dan gembira apabila menerima sebuah rumah baharu di bawah peruntukan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), seorang ibu tidak dapat menyembunyikan perasaannya.
Zanariah Ariffin, 46, mengakui dia agak gementar ketika diberikan kunci dan hendak membuka pintu rumah tersebut.
“Bergetar tangan nak buka pintu ini.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali permohonan saya ditolak kerana terdapat masalah seperti keadaan kawasan tanah yang berbukit dan tidak mempunyai jalan asas.
“Saya rasa sangat bersyukur kerana pihak Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang yang banyak membantu memudahkan urusan kami untuk lulus permohonan rumah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau rumah yang bakal didudukinya.
Sebelum ini, Zanariah yang mempunyai dua anak hanya menumpang di rumah ibu mertuanya disebakan kekangan kewangan.
Manakala suaminya pula hanya berkerja sebagai seorang nelayan.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng menjelaskan, pihaknya telah membantu memudahkan urusan dan menyelesaikan masalah kos tambahan bagi memastikan proses bina baru rumah itu dapat dijalankan.
“Kita akui, kelulusan permohonan untuk mendapatkan rumah ini bukanlah mudah, oleh sebab itu pihak kami sedaya upaya membantu agar proses ini dapat diteruskan dan keluarga ini dapat tinggal di tempat yang mereka harapkan,” jelansya.
Katanya, mereka ini bukannya daripada kalangan orang yang berkemampuan, maka tugas kebajikan tersebut diperhalusi bersama di peringkat PKM untuk membantu mereka.
“Rumah yang hampir siap sepenuhnya akan diduduki tidak lama lagi, hanya tinggal beberapa kerja kecil untuk diselesaikan, tambahan lagi sekarang musim tengkujuh yang sedikit sebanyak menyebabkan kerja tergendala,” katanya.
Menurutnya, pihak Teknikal dan Penilai daripada MAIDAM juga telah turun meninjau keadaan rumah ini sebelum proses akhir diluluskan untuk penyerahan rumah secara rasmi kepada penerima.
“Kita juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada MAIDAM, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta semua yang terlibat,” tambahnya lagi.
Sumber: TRDI News