TALAT N’YAAQOUB, MAGHRIBI – Penduduk kampung di Maghribi yang musnah akibat gempa bumi terbesar di negara itu dalam tempoh lebih satu abad, berkhemah di luar untuk malam keempat pasca bencana itu.
Ketika ini jumlah kematian meningkat kepada lebih 2,800 orang, setakat Isnin.
Pasukan pencari dari Sepanyol, Britain dan Qatar menyertai usaha Maghribi untuk mencari mangsa yang terselamat daripada gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang melanda Pergunungan Atlas Tinggi lewat Jumaat.
TV kerajaan melaporkan, angka kematian meningkat kepada 2,862, dengan 2,562 orang cedera.
Kebanyakan zon gempa berada di kawasan yang sukar dicapai, pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang anggaran untuk jumlah yang mangsa hilang.
Di kampung Tinmel, hampir setiap rumah hancur dan seluruh masyarakat kehilangan tempat tinggal.
Bau busuk kematian akibat berpuluh-puluh haiwan yang tertimbus di bawah runtuhan mula menusuk hidung.
Mouhamad Elhasan, 59, berkata, dia sedang makan malam bersama keluarganya ketika gempa bumi melanda.
Anak lelakinya yang berusia 31 tahun melarikan diri ke luar dan dihempap apabila bumbung jirannya runtuh, menyebabkan dia terperangkap di bawah runtuhan.
Elhasan berkata, dia mencari anaknya sambil menangis meminta tolong.
Tetapi akhirnya tangisan itu berhenti apabila dia menjumpai anaknya yang telah mati.
Elhasan, isteri dan anak perempuannya kekal di dalam rumah mereka dan terselamat.
“Jika dia tinggal di dalam rumah, dia akan selamat,” kata Elhasan.
Di Tinmel dan di kampung lain, penduduk berkata, mereka telah menarik orang keluar dari runtuhan dengan tangan kosong.
Di Tikekhte, Mohamed Ouchen yang berusia 66 tahun menggambarkan bagaimana penduduk menyelamatkan 25 orang dan salah seorang daripadanya adalah kakaknya.
“Kami sibuk menyelamat. Kerana tiada alatan, kami menggunakan tangan,” katanya.
Rakaman dari kampung terpencil Imi N’Tala oleh penyelamat Sepanyol Antonio Nogales dari kumpulan bantuan Petugas Bomba Tanpa Sempadan Bersatu, menunjukkan seorang lelaki dan anjing memanjat di atas cerun curam yang dilitupi runtuhan.
“Tahap kemusnahan adalah… mutlak,” kata Nogales pada Isnin.
Dia kelihatan bergelut untuk mencari perkataan yang sesuai untuk menggambarkan apa yang dilihatnya.
“Tiada satu rumah pun yang berdiri tegak,” katanya.
Walaupun dengan skala kerosakan, beliau berkata, penyelamat yang mencari dengan anjing masih berharap untuk mencari mangsa yang terselamat.
Pusat gempa adalah kira-kira 72 km barat daya Marrakesh, di mana beberapa bangunan bersejarah di bandar lama itu, Tapak Warisan Dunia UNESCO, telah rosak.
Gempa itu juga menyebabkan kerosakan besar pada Masjid Tinmel abad ke-12 yang penting dari segi sejarah.
Bahagian yang lebih moden di Marrakesh sebahagian besarnya selamat tanpa sebarang kerosakan, termasuk tapak berhampiran lapangan terbang yang diperuntukkan untuk mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, yang akan diadakan bulan depan.
Selepas respons awal yang disifatkan sebagai terlalu perlahan oleh sesetengah mangsa yang terselamat, khemah-khemah muncul di beberapa lokasi menjelang malam Isnin ketika orang ramai menghabiskan malam keempat di luar rumah.
Tentera berkata, mereka sedang memperkasakan pasukan mencari dan menyelamat, menyediakan air minuman dan mengagihkan makanan, khemah serta selimut.
Sebuah jalan utama yang menghubungkan Pergunungan Atlas Tinggi ke Marrakesh tersekat ketika kenderaan berat dan sukarelawan yang membawa bekalan bantuan menuju ke beberapa komuniti yang paling teruk terjejas.
Sukarelawan dan orang awam Maghribi, dibantu oleh beberapa warga asing melalui bantuan mengarahkan lalu lintas dan membersihkan jalan daripada serpihan batu.
Maghribi telah menerima tawaran bantuan dari Sepanyol dan Britain, yang kedua-duanya menghantar pakar mencari dan menyelamat dengan anjing penghidu serta dari Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.
Algeria telah memperuntukkan tiga pesawat untuk mengangkut anggota penyelamat dan bantuan.
TV kerajaan berkata, kerajaan Maghribi mungkin menerima tawaran bantuan daripada negara lain juga.
– Reuters