Generasi Muda Harus Pelihara Khazanah Seni Melayu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG- Seni anyaman dan mencanting merupakan warisan kraftangan yang perlu dipelihara oleh generasi baharu bagi mengelakkan khazanah berkenaan hilang ditelan zaman.

Isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, pihaknya berhasrat untuk melihat lebih ramai penglibatan generasi pelapis dalam industri terbabit.

“Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang telah mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan Kemajuan Kraftangan Malaysia Terengganu.

“Kami juga turut menghantar peserta untuk menyertai kursus anyaman berasaskan mengkuang dan pandan laut ini dengan harapan warisan ini dapat diteruskan sekali gus membantu peserta menjana pendapatan,” katanya kepada media di Sungai Kerak baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Fazlin Mohamad Zaki, Persatuan Ibu Tunggal DUN Rhu Rendang dan Kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rhu Rendang.

Menurut Tuan Faizah lagi, produk yang mempunyai potensi pada masa hadapan itu perlu diperkukuhkan dengan penglibatan generasi muda bagi memberi nafas baru dalam teknik serta penghasilan produk.

“Di Sungai Kerak ini kita dapat lihat, macam mana orang muda dapat mencanting batik dengan sangat mahir, oleh itu kita berharap pihak kraftangan dapat meneruskan bimbingan kepada pengusaha-pengusaha kraftangan dan pelapis.

“Diharapkan penggiat-penggiat seni kraftangan ini terus dibimbing untuk mengembangkan seni mereka sekali gus menjadi usahawan kraftangan yang terkemuka di Terengganu dan juga Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Adiguru Kraf Anyaman, Kelsom Abdullah berkata sekitar tahun 80an dan 90an dahulu, hampir 80 peratus penduduk di Kampung Rusila terlibat dengan bidang anyaman, namun kini, tidak sampai 10 peratus yang tinggal.

“Sangat rugi jika seni anyaman ini pupus kerana inilah salah satu identiti orang Melayu yang perlu dijaga dan dilindungi. 

“Dari sudut permintaan, produk anyaman ini mendapat permintaan yang tinggi, tetapi bahan-bahan seperti mengkuang dan pandan laut kini semakin sukar untuk didapatkan selain daripada pengusaha anyaman itu sendiri,” tambahnya lagi.

Manakala, menurut Pengusaha Daniel Batik Kraf, Pauzi bin Omor @ Omar, dia telah mengusahakan batik sejak pada tahun 2000 dan mendapat permintaan tinggi.

“Kraftangan batik ini adalah warisan tradisi turun temurun, saya amat menggalakkan anak-anak muda yang berminat dengan bidang seni boleh lah mencuburi kraftangan batik,” ucapnya.

Sumber: TRDI News