Kota Bharu: Rakyat Kelantan berpeluang menyaksikan gerhana bulan penuh pada Rabu ini.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, gerhana bulan penuh itu akan bermula pada 7.11 malam.
Katanya, kemuncak gerhana bulan penuh dapat dilihat pada jam 7.18 dan berakhir pada 7.25 malam.
“Gerhana bulan penuh berlaku apabila keseluruhan bulan berada dalam bayang-bayang umbra.
“Memandangkan ketika ini musim Covid-19, jadi Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak menganjurkan sebarang program untuk menyaksikannya.
“Kita menggalakkan masyarakat untuk menunaikan solat sunat gerhana, khutbah gerhana dan melihat gerhana di kediaman masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kali terakhir gerhana bulan penuh berlaku pada 21 Januari 2019.
Katanya, negeri ini menyaksikan berlakunya gerhana bulan separa pada 17 Julai 2019.
Sumber: My Metro