Giovanna seronok berpantang cara orang melayu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: “Melahirkan anak mencabar tetapi perlu menjalani proses berpantang mengikut kaedah tradisional lagi mencabar dan memberi pengalaman baru,” kata Giovanna Khadija Wolswijk.

Giovanna, 26, ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Tangga, di sini.

Katanya, dia berasa lega apabila tempoh berpantang sudah tamat dan tidak perlu lagi terikat dengan pantang larang.

“Paling mencabar kerana dilarang makan makanan yang digemari selain tidak boleh berjalan secara kerap.

“Kami di Itali tidak didedahkan dengan pantang larang selepas bersalin seperti yang diamalkan di negara ini.

“Ia satu pengalaman yang baru dan amalan itu memang wajar dijalankan selama 40 hari untuk menjamin kesihatan ibu lepas bersalin,” katanya.

Wanita berbangsa Itali itu selamat melahirkan anak pertamanya, Khalifa Nur Eliana, kini berusia 42 hari pada 5 Februari lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Mohamad Khalies Hami Hamzah, 36 selamat dinikahkan dengan Giovanna Khadija dari Itali dengan sekali lafaz oleh jurunikah, Datuk Ismail Ali di Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 14 Februari lalu.

Terdahulu, Giovanna Khadija penuntut Sarjana di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT memeluk Islam selepas tersentuh setiap kali mendengar alunan al-Quran daripada pembesar suara masjid UMT pada 18 Jun tahun lalu.

Tambahnya, dia berasa bertuah kerana ibu mentuanya, Rabiah Wahab, 62, membantunya menjaga anak sulungnya itu.

“Saya tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan mengenai bayi tetapi bersyukur kerana ibu mentua sentiasa ada di sisi membantu saya menguruskan anak.

“Suami, Mohamad Khalies Hami Hamzah, 36, pula menjaga anak ketika waktu malam dan waktu tidur kami tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Letih namun pengalaman menjaga anak sulung itu memang sangat berharga dan tidak boleh diperolehi di mana-mana,” katanya.

Menurutnya, ibu bapanya di Itali membuat panggilan video setiap hari untuk melihat cucu mereka.

“Jika diikutkan ibu, Hendrina Johanna Van Middelkoop, 63, dan bapa, Theodorus Wolswijk, 63, mereka ingin datang ke Terengganu untuk menziarahi kami.

“Tetapi memandangkan Pendemik Covid-19, hasrat itu terpaksa dibatalkan dan menunggu keadaan pulih sepenuhnya untuk bertemu cucu mereka,” katanya yang sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (Phd) di Universiti Libre De Bruxelles, Belgium.

Sumber: My Metro