KUANTAN – Sri Pahang FC mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan Selangor FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul makmur, sebentar tadi.
Gol tunggal pemain import, Kevin Ingreso pada minit ke-50 sudah cukup menggembirakan skuad kendalian Fandi Ahmad untuk mereka menyamakan pungutan 34 mata dengan lawan itu selepas 16 perlawanan.
Bagaimanapun, skuad Tok gajah kekal di kedudukan ketiga liga kerana Red Giants memiliki kelebihan jaringan.
Pada perlawanan itu, tuan rumah bermula dengan melancarkan beberapa serangan ke kubu lawan dan peluang terbaik hadir apabila mendapat sepakan percuma seawal minit keenam.
Namun, sepakan yang diambil pemain import, Stefano Brundo sekadar melepasi palang Red Giants.
Selangor yang jarang menguji pertahanan tuan rumah hampir menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan Faisal Halim tetapi bola tendangan penyerang Selangor itu berjaya ditepis keluar penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-15.
Pelawat terlepas peluang lagi untuk membolosi gawang apabila bola tendangan kapten pasukan, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi sedikit tersasar di sebelah kanan tiang pada minit ke-38.
Lima minit bersambung babak kedua, Sri Pahang berada di depan menerusi jaringan pemain tengah, Kevin Ingreso.
Selangor yang ketinggalan berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi pertahanan kental tuan rumah menafikan mereka daripada memperoleh gol.
Malah, kemasukan dua pemain import baharu, Ruziev Kovendik dari Uzbekistan dan Rafael Silva dari Brazil turut membantu merealisasikan misi pasukan mengutip tiga mata di halaman sendiri.
– BERITA HARIAN