PARIS – Pertahanan Jerman, Thilo Kehrer menyelamatkan Paris Saint-Germain yang seri 1-1 berdepan Lyon menerusi gol penyamaan 14 minit sebelum tamat pada aksi Ligue 1 awal pagi tadi.
PSG mendahului liga dengan kelebihan 11 mata berbanding pasukan tangga kedua, Nice tetapi berkunjung ke Lyon tanpa bintang Argentina, Lionel Messi yang positif COVID-19 serta Neymar yang menjalani rawatan akibat kecederaan di Brazil.
Skuad kendalian Mauricio Pochettino yang sedang mempersiapkan pasukan untuk aksi Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, menyamakan kedudukan pada lewat permainan berdepan kelab tangga ke-11 liga itu.
Lucas Paqueta yang baharu pulih daripada jangkitan COVID-19, membuka jaringan buat Lyon selepas tujuh minit permainan.
Pochettino bagaimanapun memuji pasukannya yang turut kehilangan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma; pertahanan, Juan Bernat dsan pemain tengah, Danilo Pereira, Julian Draxler serta Angel Di Maria yang semuanya diuji positif COVID-19.
“Perubahan yang kami lakukan bertujuan menyuntik sedikit rasa segar dalam pasukan,” kata jurulatih itu.
“Kami gembira kerana pemain gantian membawa kesungguhan yang kami mahukan. Xavi (Simons), Edouard dan Thilo semuanya membantu untuk gol penyamaan itu.”
Sumber: BERITA HARIAN