SHEFFIELD – Rodri menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk membantu Manchester City meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Sheffield United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Bramall Lane, sebentar tadi.
Jayden Boyle menjangkakan dia berjaya mencuri satu mata buat ‘Blades’ menerusi gol penyamaan pada minit ke-85 namun Rodri meledak rembatan kencang, tiga minit berselang untuk gol kemenangan City.
Erling Haaland gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama namun menebus kekecewaannya dengan gol pembukaan City hasil hantaran Jack Grealish.
Kemenangan itu membolehkan juara bertahan berkenaan melonjak ke tangga teratas liga hasil kemenangan bersih dalam tiga aksi.
Sementara itu, Matty Cash meledak dua gol untuk membantu Aston Villa menewaskan Burnley 3-1 yang terus gagal mengutip sebarang mata sejak kembali ke EPL.
Villa dibelasah Newcastle 1-5 pada aksi pembukaan namun bangkit merakam tiga kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Villa hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka jaringan menerusi Cash yang menyudahkan hantaran Ollie Watkins sebelum Cash meledak voli untuk gol kedua.
Burnley cuba bangkit menerusi Lyle Foster namun Moussa Diaby meledak gol ketiga untuk mengesahkan kemenangan buat pelawat.
– BERITA HARIAN