Gua Musang Miliki Kilang Proses Kelapa Sawit Berkapasiti Tertinggi Di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG: Daerah Gua Musang merekodkan sejarah baharu apabila memiliki sebuah kilang pemprosesan kelapa sawit berkapasiti tertinggi di negeri ini, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan, dan Keusahawanan negeri, Mohamad Nasriff Daud berkata kilang Liquid Palm Miller yang dimiliki oleh Liquid Palm Miller Sdn Bhd iaitu sebuah anak syarikat Kumpulan iKHASAS telah melancarkan peningkatan kapasiti pemprosesan daripada 45 ton sejam kepada 90 ton sejam secara rasminya pada Isnin.

Beliau berkata dengan kapasiti yang tinggi, jumlah pemprosesan harian telah meningkat daripada 900 metrik tan kepada 1,800 metrik tan.

“Kilang ini juga dapat menghasilkan lebih banyak minyak sawit mentah dan membantu memenuhi permintaan pasaran.

“Sebahagian besar bekalan buah sawit diterima dari ladang sendiri yang berkeluasan lebih 3,642 hektar di bawah pengurusan Syarikat Liquid Palm Grower Sdn Bhd dan sebahagian yang lain dari kawasan Kuala Betis, Lojing dan Aring,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pelancaran Naik Taraf Kilang Sawit di Kilang Liquid Palm Miller, Kuala Betis pada Isnin yang turut dihadiri Pengarah Kumpulan iKHASAS Tan Chee Kian.

Menurutnya, kerja menaik taraf pemprosesan kapasiti telah bermula sejak 2022 dan siap pada pertengahan tahun ini yang menelan belanja RM50 juta.

“Kilang ini menggunakan teknologi terkini (Continuous System) untuk memastikan proses pemprosesan berkesan dan berinovasi demi penghasilan produk berkualiti tinggi seperti minyak sawit mentah (MSM) dan isirung,” katanya.

Dalam pada itu Mohamad Nasriff berkata syarikat berkenaan memberikan keutamaan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, selain menyediakan latihan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam teknologi terkini.

“Sebagai komitmen kepada komuniti masyarakat setempat, syarikat juga menyediakan kemudahan pengangkutan bas untuk anak-anak kakitangan ke sekolah dengan kos ditanggung oleh syarikat.

“Tempat tinggal yang selesa turut disediakan, termasuk blok bangunan dormitori tiga tingkat untuk pekerja yang belum berkeluarga dan rumah kuarters untuk yang sudah berkeluarga,” katanya.

— BERNAMA