MADRID – Pengendali Manchester City Pep Guardiola terpaksa akur dengan situasi di luar jangkaan dalam bola sepak apabila Real Madrid bangkit di saat akhir untuk merebut tempat ke final Liga Juara-Juara Eropah.
City mendahului 1-0 dan 5-3 secara agregat di Santiago Bernabeu menuju ke minit ke-90 permainan sebelum dua gol dalam tempoh 88 saat oleh pemain gantian Rodrygo mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Karim Benzema sekali lagi menyempurnakan kebangkitan Real Madrid di pentas Liga Juara-Juara musim ini dengan memanfaatkan sepakan penalti untuk kemenangan juara 13 kali yang akan bertemu Liverpool pada 28 Mei di Paris.
City terus kempunan untuk bergelar juara Eropah walapun berbilion ringgit dibelanjakan oleh pemilik kelab dari Abu Dhabi sejak 14 tahun lalu.
Anak buah Guardiola terlepas banyak peluang keemasan ketika aksi pertama di Etihad dan selepas Riyad Mahrez meletakkan mereka di depan pada aksi timbal balik ketika permainan berbaki 17 minit.
“Kami tidak menampilkan aksi terbaik kami, tetapi ia perkara biasa, dalam separuh akhir, pemain-pemain merasakan tekanan dan mahu melakukannya.
“Bola sepak tidak dapat dijangka, terutama dalam perlawanan seperti ini. Kami perlu menerimanya,” kata Guardiola.
Madrid sebelum ini bangkit di Bernabeu ketika menyingkirkan Paris Saint-Germain dan Chelsea dalam dua pusingan sebelumnya.
Namun juara Sepanyol itu tidak melakukan sebarang percubaan tepat sehingga Rodrygo mencetus kebangkitan dengan memanfaatkan hantaran lintang Benzema untuk gol penyamaan.
Pemain Brazil itu kemudian menanduk masuk bola untuk gol kedua pada minit pertama masa kecederaan sekali gus mengikat kedudukan agregat kepada 5-5.
City kini perlu segera melupakan kekecewaan di pentas Eropah untuk mengelak mengakhiri musim ini tanpa sebarang trofi buat pertama kali dalam tempoh lima tahun.
Juara Inggeris itu kini mendahului Liverpool dengan kelebihan satu mata di puncak Liga Perdana Inggeris dengan empat perlawanan berbaki.
Sumber: BERITA HARIAN