Guna LPT, Jalan Gerik Elak Kesesakan Jalan Gua Musang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG: Perantau disaran menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) atau melalui jalan Gerik, Perak bagi mengelak pertambahan kenderaan melalui pintu masuk Gua Musang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya mengambil maklum kesesakan jalan masuk menghala ke Gua Musang ketika ini susulan penutupan jalan bagi tujuan kerja-kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej 3B dan 3C.

Katanya, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang diarahkan untuk mencari  kaedah termasuk mewujudkan laluan alternatif lain untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

“Saya telah minta Ketua Polis Daerah dan Bahagian Trafik IPD Gua Musang mencari kaedah serta laluan alternatif yang lain untuk  melicinkan lagi perjalanan pengguna jalan raya.

“Kita telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan dua hingga tiga hari sebelum raya jumlah kenderaan bertambah. Tetapi saya tak mampu nak menjangka berapa banyak kenderaan akan masuk, pastinya Hari Raya Aidilfitri kali ini lebih ramai balik ke Kelantan,” katanya selepas Penyampaian Rezeki Ramadan dan Majlis Iftar Ramadan bersama warga IPD Gua Musang di Dewan Tanjung IPD Gua Musang di sini, semalam. 

Muhamad Zaki memberitahu, bagi mengelak kesesakan pengguna jalan raya boleh pulang ke Kelantan menggunakan LPT melalui Terengganu atau melalui jalan Gerik, Perak.

Katanya, dengan adanya dua laluan itu keadaan kesesakan lalu lintas di Gua Musang akan terkawal.

“Pihak kami juga sedang meneliti dua laluan alternatif iaitu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

“Kemungkinan ada jalan-jalan alternatif yang orang dari luar tak tahu, tetapi orang tempatan kita tahu supaya dapat melancarkan lagi perjalanan. Kita berharap pengguna jalan raya bersabar dengan projek yang sedang berjalan kerana untuk mendapatkan kemudahan yang selesa memerlukan sedikit pengorbanan,” ujarnya. 

Sumber: UTUSAN