Guna MPV Angkut 1,360Kg Minyak Masak Untuk Diseludup

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 1,360 kilogram (kg) minyak masak peket yang cuba diseleweng ke negara jiran selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan sebuah premis di Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu, di sini semalam.

Penahanan MPV jenis Perodua Alza itu dilakukan menerusi kerjasama KPDN Kelantan dengan Pasukan Polis Marin  (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor pada pukul 12.10 tengah hari melalui Op Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan.

Pengarahnya Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota bertugas telah mengekori sebuah MPV yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Kota Bharu menghala ke Tumpat.

Menurutnya, menyedari diekori suspek telah bertindak memecut kenderaannya memasuki bulatan Pasir Pekan menghala ke Wakaf Bharu.

“MPV yang dinaiki oleh suspek kemudian tersangkut pada penghadang jalan di hadapan sebuah premis semasa cuba melarikan diri. Selepas itu suspek keluar dari MPV tersebut dan terus melarikan diri daripada dicekup.

“Pemeriksaan lanjut ke atas MPV itu membawa kepada penemuan beberapa kotak yang mengandungi minyak masak peket bersubsidi sebanyak 1,360 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azman memberitahu, nilai rampasan anggaran minyak masak peket termasuk MPV itu dianggarkan berjumlah RM23,400 dan kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, KPDN Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi negara.

Sumber: UTUSAN