Gua Musang: Kemiskinan yang mencengkam warga emas memaksa dia bergerak menggunakan roda tong gas kerana tidak mampu membeli kerusi roda.
Rohana Yaacob, 73, tinggal rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Persiaran Raya di bandar ini, mengidap sakit saraf sejak 20 tahun lalu tidak mampu berjalan dan hanya terlantar sepanjang hari.
Menurutnya, roda tong gas yang dibeli dengan harga RM5 itu memudahkan dia bergerak dan jika mahu ke tandas dia akan meminta cucunya menolaknya.
“Mak cik malu hendak menceritakan masalah yang dihadapi ini, lebih-lebih hendak minta bantuan kerusi roda bagi memudahkan bergerak.
“Itupun minta pertolongan dua cucu untuk tolak. Bagaimanapun mak cik tidak berani untuk keluar rumah menggunakannya kerana bimbang terjatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Rohana yang kematian suami sejak beberapa tahun lalu ditemani dua cucu perempuan yang akan membantunya ke bilik air dan memasak.
Sebelum itu, dia dikunjungi Ahli Majlis Jaksa Pendamai Kelantan (MJPK), Che Ibrahim Che Ismail untuk menyampaikan sumbangan bakul makanan yang turut akan membantunya mendapatkan kerusi roda dalam masa terdekat.
Sumber: My Metro