YOGYAKARTA, 8 Sya’ban 1442 H, Isnin : Gunung Merapi di Indonesia telah dua kali mengeluarkan debu panas sejauh 1,300 hingga 1,500 meter antara pukul 12 malam hingga 6 pagi hari ini.
Lapor Kompas.com, Ketua Pusat Pembangunan dan Kajian Teknologi Bencana (BPPTKG), Hanik Humaida mengesahkan kejadian itu.
Data yang diperoleh daripada jabatan itu menunjukkan kejadian berlaku pada pukul 2.03 pagi.
Debu panas direkodkan pada seismogram dengan amplitud 48 milimiter yang mengambil masa selama 150 saat, manakala, lava mengalir ke arah barat daya.
“Lava itu mengalir sebanyak lima kali dengan jarak maksimum 1,000 meter ke arah barat daya,” katanya.
Situasi berbahaya itu berpotensi merebak ke kawasan Kuning, Boyong, Bedong, Krasak, Bebeng dan Putih sejauh lima kilometer (km) ke arah tenggara di Sungai Gendol.
Ketika letupan berlaku, gunung berapi itu berupaya memuntahkan lavanya sehingga tiga km dari puncak.
Oleh itu, penduduk diingatkan supaya tidak melakukan apa-apa kegiatan di kawasan berpotensi bahaya serta berwaspada dengan lahar gunung berapi yang boleh terjadi ketika hujan di sekitar Gunung Merapi.