Seorang guru sandaran di daerah Bone, Sulawesi Selatan dipecat gara-gara memuat naik status yang memaklumkan dirinya menerima gaji sebanyak 700,000 rupiah (RM202) dalam media sosial.
Lapor Kompas.com, guru tersebut yang dikenali sebagai Hervina, 34, sudah berkhidmat sebagai guru sandaran selama empat bulan di Sekolah Dasar Negeri (SD) 169 Sadar di Bone.
“Saya memuat naik status itu kerana sangat gembira menerima gaji sejak empat bulan lalu,” katanya.
Namun, beberapa jam selepas memuat naik status tersebut, Hervina mendapat mesej ringkas daripada Pengetua Sekolah SD 169 Sadar, Hamsinah yang memaklumkan dirinya sudah dipecat.
“Mulai sekarang, kamu berhenti mengajar dan cari sekolah yang boleh tawarkan gaji lebih tinggi,” menurut mesej tersebut.
Kemudian, kes pemecatan Hervina tular dalam media sosial dan mendapat pelbagai reaksi pengguna internet.
Dalam pada itu, Hamsinah menjelaskan pemecatan Hervina bukan disebabkan oleh status dalam media sosial yang ditulisnya.
Sebaliknya, guru wanita itu dipecat kerana terdapat banyak tenaga pengajar di sekolah terbabit.
Namun, kenyataan Hamsinah dibantah oleh Ketua Kampung Sadar, Andi Sudi Alam.
Dia berharap pihak berkuasa pendidikan dapat menambah jumlah guru di kampungnya kerana mereka sering berdepan dengan masalah kekurangan tenaga pengajar di sekolah.