Haaland Pecah Rekod 92 Tahun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Manchester City melonjak ke puncak Liga Perdana Inggeris dan penyerangnya, Erling Haaland memecahkan rekod jaringan berusia 92 tahun dalam kemenangan 2-1 di Fulham.

Julian Alvarez meledak gol kemenangan City selepas Haaland menyempurnakan sepakan penalti minit ketiga di Craven Cottage, untuk menjadi pemain pertama di liga tertinggi Inggeris menjaringkan 50 gol dalam semua pertandingan sejak tahun 1931.

Tom ‘Pongo’ Waring menjaringkan 50 gol untuk Aston Villa dalam semua pertandingan pada musim 1930-31. Setahun sebelum itu, legenda West Ham, Vic Watson juga meledak 50 untuk pasukannya.

Haaland juga masih berpeluang memburu rekod 63 gol jaringan Dixie Dean untuk Everton pada tahun 1928.

“Tahniah kepada Erling. Matlamat utama untuk membantu kami mencapai apa yang kami mahukan masih ada,” kata pengendali City, Pep Guardiola.

Haaland turut menyamai rekod Alan Shearer dan Andy Cole untuk jaringan terbanyak dalam satu musim Liga Perdana Inggeris.

Shearer meledak 34 gol untuk Blackburn pada tahun 1995 dan Cole melakukannya untuk Newcastle pada tahun 1994.

Carlos Vinicius menyamakan kedudukan untuk Fulham tetapi gol pertama Alvarez dalam enam perlawanan, melonjak City satu mata di depan Arsenal.

City yang masih memburu tiga kejuaraan musim ini, berada di puncak liga buat pertama kali dalam tempoh 10 minggu selepas memenangi lapan aksi terakhir liga dan belum tewas dalam 18 perlawanan terakhir mereka.

Skuad kendalian Guardiola yang bermain kurang satu perlawanan berbanding Arsenal, perlu menang lima daripada baki enam perlawanan liga musim ini untuk mengesahkan gelaran kelima dalam enam musim.

Arsenal, tanpa sebarang kemenangan dalam empat perlawanan lalu, melayan kunjungan Chelsea esok, manakala City menentang West Ham di Stadium Etihad pada Rabu.

– BERITA HARIAN