KUALA KRAI – Insiden gajah ‘masuk kampung’ dipercayai berpunca akibat habitat asal haiwan itu diceroboh atau diterokai secara tidak terkawal oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.
Difahamkan, gajah-gajah itu ‘masuk kampung’ untuk mencari makanan.
Ketua Pusat Operasi Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, Mohd Khairul Adha Mat Amin yang turut melahirkan kebimbangan berkata, jika masalah itu terus berpanjangan berkemungkinan besar haiwan tersebut akan pupus.
“Apabila berlakunya masalah itu, maka wujudlah konflik antara gajah dengan manusia.
“Saya berpandangan semua pihak perlu bersepakat dalam isu ini bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi konflik tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairul Adha berkata, sekiranya ada penduduk yang terserempak dengan gajah liar, jangan panik.
“Buat laporan segera kepada Perhilitan yang berdekatan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, Mohd Khairul Adha bersama 25 anggota dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terlibat dalam kerja-kerja memindahkan seekor gajah liar jantan seberat 2.5 tan di Kampung Tok Uban, Sungai Rek di sini hari ini.
Dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai turut membantu dalam operasi tersebut.
Kedua-dua ekor gajah itu hanya mengambil masa selama 30 minit untuk memujuk Awang Tok Uban.
Sumber: Sinar Harian