Hadis Amalan Membaca Surah Yasin Pada Malam Jumaat, Ini Yang Perlu Kita Tahu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Amalan membaca Surah Yasin sering dikaitkan dengan malam jumaat. Namun, surah Yasin tidak semestinya hanya dibaca pada malam jumaat sahaja. Surah Yasin boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja. Tidak ada dalil yang melarang membaca Yasin pada malam jumaat atau malam yang lain.

Terdapat banyak hadis yang menjelaskan kelebihan (fadilat) surah ini, kebanyakannya adalah hadis palsu yang direka cipta. Ada juga sebahagian hadis yang bertaraf hadis dhaif.

Dalam syariat Islam, kita dididik supaya tidak terhad berpandukan kepada hadis sohih semata-mata. Namun, kita dibenarkan merujuk hadis dhaif dengan syarat ianya dirujuk sebagai hal berkaitan fadhilat akan sesuatu amalan dan bukan dijadikan sebagai hujah dalam hal hukum hakam.

Berikut adalah sebahagian hadis berkaitan Surah Yasin Yang Sering Disampaikan Namun Ia Merupakan Hadis Dhaif:

“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, hati bagi al-Quran adalah surah Yasin, barang siapa membacanya seolah-olah membaca al-Quran sebanyak 10 kali.”

“Sesiapa yang membaca surah Yasin pada waktu malam, dia akan bangun pagi dalam keadaan diampunkan dosa.”

“Sesiapa yang selalu membaca surah Yasin pada setiap malam lalu dia meninggal dunia, maka dia dikira mati syahid.”

“Sesiapa yang memasuki ruang perkuburan lalu membaca surah Yasin, diringankan (azab) bagi mereka (yang berada di dalam kubur), dan baginya (pembaca pahala kebaikan sebanyak mana orang (mayat) yang berada di perkuburan itu.”

Rujukan berkenaan status hadis ini boleh dilihat di dalam kitab ‘Al-Maudhuaat’ karangan Imam Ibnu Al-Jauzi, kitab ‘Al-Fawaid Al-Majmuah’ karangan Imam As-Syaukani dan risalah yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Amru Abdul Latif (hafizahullah) bertajuk “Hadis Qalbul Quran Yasin, Wa Jumlah Mimma Wuriya di fadhailiha” (hadis hati al-Quran Yasin dalam pertimbangan, dan hadis-hadis kelebihannya).

Tidak ada dalil yang menyebut waktu-waktu tertentu untuk membaca surah Yasin seperti malam jumaat.

Bacaan Yasin lebih cenderung untuk dijadikan satu amalan ibadah dalam majlis tertentu. Bacaan Yasin dibaca di dalam majlis tertentu disebabkan untuk memperkasakan budaya membaca al-Quran paling tidak seminggu sekali. Ia juga bertujuan memupuk semangat berukhuwah sesama Muslim.

Amalan membaca surah Yasin ini perlu dilihat sebagai suatu amalan sunat yang apabila dilakukan akan mendapat pahala namun jika ditinggalkan tidak membawa kepada dosa.

Sumber: HIJABISTA