Hadis sumber kedua selepas al-Quran dan kewujudannya sehingga ke hari ini berdasarkan jaluran periwayatan yang sangat terpelihara. Sebarang bentuk pemahaman salah yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam tentang kedudukan hadis perlu diperbetulkan.
Pemahaman salah terhadap hadis Rasulullah SAW boleh berlaku apabila wujud kesangsian yang cuba disebarkan kepada masyarakat mengenai status hadis yang sampai kepada kita hari ini termasuk melibatkan hadis sahih.
Isu ini perlu diberi penjelasan yang tepat lebih-lebih lagi melibatkan kenyataan secara pukal oleh pihak tertentu bahawa hadis yang sampai kepada kita ungkapan yang boleh jadi benar dan boleh jadi sebaliknya walaupun status hadis berkenaan disahkan oleh bilangan ulama hadis yang berkredibiliti.
Hadis yang disahkan berstatus sahih datang daripada Rasulullah SAW tidak wajar dicemari dengan sangkaan salah kerana ia boleh mengundang salah faham terhadap sumber utama dalam Islam.
Rasulullah SAW sendiri memberi amaran tegas kepada golongan yang cuba menyandarkan sesuatu perkara kepada baginda sedangkan ia tidak pernah dinyatakan olehnya.
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.”
Justeru, dalam memahami jaluran periwayatan hadis Rasulullah SAW, kita perlu mengenali sahabat baginda yang sentiasa bersama baginda. Sahabat baginda adalah manusia yang memulakan jaluran periwayatan pertama kerana merekalah yang mendengar secara langsung daripada Rasulullah SAW.
Sahabat Rasulullah SAW yang mendengar sendiri kata-kata daripada baginda adalah kelompok manusia yang mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah SWT. Allah meredai mereka dan mereka juga meredai segala ketetapan yang ditakdirkan oleh Allah SWT untuk mereka.
Dalam ayat al-Quran itu, Allah SWT turut mengiktiraf golongan yang mengikuti jejak langkah sahabat Rasulullah SAW kerana semua mereka mendapat petunjuk daripada-Nya.
Ini satu bukti jelas bahawa perkhabaran yang datang daripada Rasulullah SAW menerusi jaluran periwayatan yang disahkan sahih oleh ulama adalah sesuatu yang tidak boleh disangsi lagi. Tidak timbul sebarang kemungkinan yang boleh dikira berbentuk tohmahan terhadap periwayat hadis Nabi SAW.
Selain itu, sahabat Nabi SAW golongan terbaik daripada kalangan manusia. Ini dibuktikan menerusi ungkapan Jabir bin Abdullah tentang sahabat Nabi yang terlibat dalam Bai’ah ar-Ridwan yang bermaksud: “Rasulullah SAW bersabda kepada kami pada hari Hudaibiyah iaitu ketika Bai’ah ar-Ridwan: “Kamu semua (sabahat) adalah sebaik-baik penghuni dunia.” Jabir berkata lagi: “Pada ketika itu, bilangan kami berjumlah seribu empat ratus orang.”
Sahabat mendengar kata-kata Rasulullah secara langsung dengan kata-kata itu juga diriwayatkan oleh sahabat lain serta mereka tidak pernah berselisihan sesama sendiri dalam periwayatan hadis. Ini menjadi bukti sahabat mendapat pentunjuk daripada Allah SWT dalam meriwayatkan nas daripada Rasulullah SAW.
Malah, Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf kehebatan sahabat baginda dan golongan yang mengikut jalan mereka menerusi sabda baginda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang ada pada zamanku, kemudian setelah mereka kemudian setelah mereka.”
Sahabat Rasulullah SAW dan golongan yang hampir dengan mereka adalah kelompok manusia yang perlu diyakini mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Adalah sesuatu yang mustahil bagi mereka semua berpakat untuk menyampaikan sesuatu yang tidak benar.
Setiap perbuatan sahabat mencerminkan kedudukan mereka yang menerima tarbiah langsung daripada Rasulullah SAW. Mereka tidak akan berpakat membohongi perkhabaran yang datang daripada Rasulullah SAW kerana kecintaan mereka terhadap baginda.
Kedudukan sahabat juga dapat dilihat berdasarkan nilai amalan yang dilakukan oleh mereka. Nilai amalan sahabat tidak menyamai nilai amalan manusia biasa kerana pengorbanan mereka yang luar biasa.
Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu mencerca sahabatku. Sesungguhnya sekiranya ada dalam kalangan kamu menginfakkan emas sebesar Bukit Uhud sekalipun, ia tidak akan menyamai nilai secupak makanan ataupun setengahnya yang diinfakkan oleh mereka (sahabat Rasulullah).”
Sesungguhnya Islam sampai kepada kita menerusi jalur periwayatan yang sangat terpelihara. Usah semudahnya membayangkan sahabat dan generasi selepasnya yang menyampaikan Islam daripada Rasulullah SAW, memiliki sifat dan ilmu yang setaraf dengan kita yang banyak kelemahan ini.
Kebijaksanaan sahabat baginda dalam menyampaikan periwayatan nas agama diiktiraf sepertimana dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. Allah SWT memelihara agama Islam dengan mengurniakan kehebatan kepada golongan yang membawa periwayatan nas agama.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: “Demi Allah, kamu semua akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi adanya bersama kamu orang yang melihat orang yang pernah melihatku dan bersahabat dengan aku.”
Begitulah gambaran kewibawaan sahabat Rasulullah SAW yang bersama-sama baginda menyebar ajaran Islam malah mempertahankan kesucian agama ini sehingga nikmat beragama Islam terus dikecapi sehingga ke hari ini.
Sumber: HARIAN METRO