Hamidin Sedia Jayakan Misi Malaysia di Sukan Olimpik 2024

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas pemilihannya sebagai ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik di Paris tahun hadapan.

Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan pelantikannya itu adalah amanah dan tanggungjawab besar yang perlu digalas terutama dalam memburu pingat emas sulung negara di temasya berkenaan.

Justeru, beliau mengharapkan doa dan kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan misi negara di Olimpik Paris dapat direalisasikan.

“Terima kasih juga kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang memberikan kepercayaan memilih saya sebagai ketua kontinjen Olimpik bagi Malaysia pada tahun hadapan di Paris.

“Kepercayaan ini satu amanah dan tanggungjawab yang perlu saya pikul bersama supaya mendapat kejayaan, bukan sahaja meraih pingat emas sulung untuk Malaysia di Olimpik, tetapi juga meraih seberapa banyak pingat yang boleh pada Olimpik 2024,” katanya.

Semalam, KBS mewujudkan Jawatankuasa Road To Gold (RTG) dalam usaha merealisasikan pingat emas pertama di Sukan Olimpik yang bakal berlangsung mulai 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 di Paris.

Jawatankuasa RTG dipengerusikan bersama oleh Hannah dan Mohamad Norza sementara Hamidin sebagai ketua kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ahli Jawatankuasa antaranya terdiri daripada Ketua Setiausaha KBS, Dr Nagulendran Kangayatkarasu; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Mohd Ramli.

Melengkapi senarai ialah Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak selain bekas jaguh skuasy, Datuk Nicol Ann David yang turut dipilih sebagai timbalan ketua kontinjen Sukan Olimpik Paris 2024; legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei dan legenda hoki, Datuk Mirnawan Nawawi.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam dilantik sebagai penyelaras projek dan akan dibantu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai selaku pembantu penyelaras projek.

– BERITA HARIAN