Raub: Hampir kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Batu Talam seluas lebih 101 hektar sudah ditebang.
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, ia pencapaian di luar jangkaan pihaknya yang memulakan Op Pamah pada 3 Julai lalu.
Menurutnya, beberapa faktor yang mempercepatkan aktiviti menebang ialah kemahiran tinggi kakitangan JPNP ditambah dengan jumlah mereka yang ramai pada operasi ini yang dianggap begitu mencabar.
Katanya, terdapat lebih 100 kakitangan menyertai operasi dan mereka dikerah untuk membantu melancarkan aktiviti menebang.
“Saya tidak menyangka dalam tempoh sembilan hari, hampir semua 15,000 pokok durian Musang King yang tanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam berjaya ditebang, peringkat awal ia dijangka mengambil masa selama sebulan.
“Pencapaian ini begitu membanggakan terutama apabila dapat menyelesaikan tugas dalam jangka masa yang begitu pantas sekali,” katanya, di sini hari ini.
Nor Azirim berkata, kerjasama erat secara berpasukan antara kakitangan JPNP dengan Unit Penguat Kuasa Negeri Pahang (UPNP) turut menjadi faktor kelancaran Op Pamah yang diadakan.
Katanya, tugas seterusnya ialah membersihkan tapak untuk kerja menanam pokok hutan dalam hutan simpan terbabit.
“Aktiviti menanam pokok hutan perlu dilakukan segera secara berperingkat, lebih 20,000 pokok hutan perlu ditanam.
“Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Rotan Tunggal, di sini bertanggungjawab sepenuhnya menanam pokok yang turut dibantu kakitangan daerah lain,” katanya.
Sumber: My Metro