Hampir 200 Terkorban, Lebih 100 Lagi Masih Hilang Serangan Di Kem Jabaliya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GAZA: Dalam tempoh kurang daripada 24 jam, jumlah mangsa akibat kedua-dua serangan udara tentera rejim Zionis Israel ke atas kem pelarian Jabaliya mencecah lebih 1,000 orang, menurut laporan terbaharu Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Angka ini termasuk 195 mangsa yang disahkan maut, 120 yang masih hilang dan sekurang-kurangnya 777 yang lain cedera.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyifatkan serangan Israel pada Selasa dan Rabu ke atas kem pelarian Jabaliya sebagai “dahsyat”, sementara Pejabat Hak Asasi Manusia PBB berkata “serangan tidak seimbang” itu “boleh dianggap sebagai jenayah perang.”

Israel sebelum ini berkata serangan berkenaan menyasarkan seorang komander Hamas.

Angkatan tentera Israel mendakwa telah membunuh Muhammad A’sar, yang dikenal pasti sebagai ketua “unit peluru berpandu antikereta kebal”.

“A’sar bertanggungjawab ke atas semua unit peluru berpandu antikereta kebal Hamas di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan memetik laporan Al Jazeera.

Di bawah kawalannya, beberapa serangan telah dilancarkan Hamas terhadap orang awam dan tentera, tambah kenyataan itu.

Tiada sebarang komen tentang perkara itu diterima dari Hamas.

– AWANI