Hampir RM 400b Atasi Isu Banjir Hingga 2100

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM392 bilion untuk tempoh 78 tahun akan datang bagi mengatasi masalah banjir di negara ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata langkah jangka panjang sehingga 2100 itu merangkumi komponen utama tebatan banjir dan saliran bandar serta infrastruktur pantai.

Katanya, pelaburan kerajaan untuk menangani isu perubahan iklim itu sudah bermula menerusi peruntukan besar RM15 bilion kepada sektor air negara.

“Peruntukan RM15 bilion secara ‘off budget’ bermula 2023 hingga 2030 bagi projek tebatan dan penyelesaian banjir serta pembinaan struktur sabo di kawasan kritikal yang terjejas teruk akibat Monsun Timur Laut.

“Untuk langkah jangka panjang sehingga 2100, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menganggarkan peruntukan RM392 bilion diperlukan bagi mengatasi masalah banjir di Malaysia.

“Anggaran kos ini antara lain merangkumi komponen utama tebatan banjir dan saliran bandar sebanyak RM230.71 bilion serta infrastruktur pantai RM126.55 bilion,” katanya ketika berucap dalam Simposium Perubahan Iklim 2022 di Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan.

Sumber : BERITA HARIAN