MILAN – Penjaga gol Slovenia, Samir Handanovic meninggalkan Inter Milan selepas 11 musim di kelab itu, umum kelab Serie A Itali itu semalam.
Handanovic, yang dinamakan sebagai kapten Inter pada 2019, kini berstatus ejen bebas selepas kontraknya tamat hujung bulan lalu.
“Satu tempat rujukan, seorang pemimpin di bilik persalinan, seorang kapten yang berani. Samir Handanovic memiliki semua perkara ini dalam 11 musim dia mempertahankan gawang Nerazzurri,” tulis Inter dalam satu kenyataan.
Handanovic, yang mengalami kecederaan otot pada Januari, bermula dalam 14 perlawanan Serie A musim lalu namun tidak tampil dalam mana-mana aksi Liga Juara-Juara apabila Andre Onana menjadi pilihan utama jurulatih Simone Inzaghi.
Handanovic, 38, menyertai Inter pada Julai 2012 dan membantu mereka memenangi kejuaraan Serie A pada 2020-21 selain dua Piala Itali dan dua Piala Super.
Sepanjang tempohnya sebagai kapten, Inter muncul naib juara Liga Juara-Juara 2022-23 dan Liga Europa 2019-20.
Handanovic meraih lebih 80 cap bersama Slovenia dari 2004-2015, muncul Pemain Terbaik Tahunan Slovenia tiga kali. Dia juga memegang rekod menyelamatkan penalti terbanyak dalam liga utama Itali dengan 32.
Berikutan pemergian Handanovic dan kemungkinan Onana berpindah ke kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United, Inter berusaha membawa penjaga gol Anatoliy Trubin dari Shakhtar Donetsk, menurut laporan media Itali.
– BERITA HARIAN