Hannah Kecam Ucapan Berbaur Perkauman Bekas Pemain Pelapis BAM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama dibangkitkan bekas pemain pelapis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di media sosial baru-baru ini.

Walaupun bekas pemain tersebut telah meminta maaf, Hannah sama sekali tidak bersetuju dengan kenyataan individu yang pernah berada di bawah naungan BAM pada 2014 dan kini dilaporkan tidak menetap di Malaysia.

“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia,” katanya di laman Twitter, hari ini.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

“Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” katanya.

Bekas pemain tersebut dalam satu video mendakwa bahawa prestasi pemain negara merudum pada Terbuka Malaysia 2023 kerana BAM diuruskan oleh orang Melayu selain menyentuh sensitivi umat Islam.

Sementara itu, BAM dalam catatan di akaun Facebook hari ini turut mengecam komen bersifat perkauman yang dibuat oleh bekas pemain itu, yang sedang memberi latihan di China ketika ini.

BAM memaklumkan mereka benar-benar terkejut dan akan menangani isu itu termasuk menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Badminton China (CBA) dan menggesa mereka mengambil tindakan yang perlu terhadap individu tersebut.

“Komen yang bersifat memecahbelahkan seperti itu tidak mempunyai tempat dalam masyarakat terutamanya di negara kita dan tidak boleh dibiarkan. Orang yang rasis seperti itu tidak sepatutnya diambil bekerja sebagai jurulatih dalam sukan yang digemari oleh berjuta-juta orang dari semua kaum dan agama.

“BAM dan semua ahli gabungan kami tidak akan menerima orang seperti itu untuk terlibat dalam badminton di Malaysia,” katanya.

– BERNAMA