Kota Bharu: Hanya 1.12 peratus baki anggota termasuk pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan masih belum mengambil vaksin Covid-19.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mereka belum menerima vaksin disebabkan mempunyai masalah kesihatan.
Katanya, setakat ini 98.88 peratus warga polis Kelantan lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dan hanya baki 1.12 peratus yang belum menerima vaksin.
“Selain anggota dan pegawai, kita juga mengalakkan ahli keluarga mereka untuk mendapatkan vaksin bagi mencapai imuniti kelompok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan dan menyantuni warga emas, Siti Liah Mamat, 120, di Jalan Telipot, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Shafien berkata, pihaknya menyeru ahli keluarga PDRM yang masih belum divaksin supaya mendapatkan suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk secara ‘walk-in’.
Pada perkembangan lain, Shafien berkata, daerah Kota Bharu mencatatkan pertambahan kenderaan sebanyak 70 peratus sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 dilaksanakan berkuat kuasa pada 9 September lalu.
Katanya, peratusan itu membabitkan 50 peratus kenderaan domestik dan selebihnya kenderaan dari luar yang memasuki Kelantan.
Sumber: My Metro