Hanya 12,946 Rakyat Kelantan Daftar Derma Organ – Dr Izani

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Hanya 12,946 rakyat Kelantan telah mendaftar sebagai penderma organ sejak tahun 1997 sekali gus meletakkan negeri itu di kedudukan paling rendah dari segi jumlah pengikrar.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kesedaran pendermaan organ dalam kalangan rakyat rendah seperti kurang pengetahuan dan bagi penganut Islam, mereka tidak begitu jelas dengan hukum ditetapkan.

“Jumlah pengikrar di Malaysia adalah sebanyak 515,530 orang sejak tahun 1997 dan di Kelantan seramai 12,946 orang telah mendaftar. Pendermaan organ di Malaysia, khususnya Kelantan, masih rendah jika dibandingkan dengan negara lain.

“Majis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan dari segi hukum pendermaan organ ini dibolehkan maka kalau kesedaran timbul dalam kalangan rakyat, kita boleh berikan sinar dan peluang kepada mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata kali terakhir pemindahan organ di Kelantan dilaksanakan ialah pada Ogos lepas, menjadikan tiga prosedur telah dilakukan di negeri itu sejak 2006.

Sumber : BERNAMA