DUNGUN, 22 Julai – Hanya 583 buah kenderaan yang dibenarkan masuk ke Terengganu pada hari pertama Aidiladha, semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pada sehari sebelum Aidiladha pula, terdapat 1,669 kenderaan merentas negeri masuk ke Terengganu.
“Kita lebih fokus aliran kenderaan dari arah pantai barat. Terdapat perbezaan ketara dari segi kuantiti, di mana kita beranggapan hasil kesedaran masyarakat sendiri dan dasar penguatkuasaan kita.
“Apa yang diuar-uarkan kerajaan Persekutuan bahawa pihak polis memperketatkan pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) telah tersebar dan masyarakat patuh atas arahan,” katanya.
Menurutnya, daripada 18 hingga 21 haribulan pemeriksaan SJR diperketatkan, hanya tujuh kompaun dikeluarkan iaitu 1 Kemaman dan 6 di Besut.
“Semua kes di atas adalah kes rentas sempadan tanpa kebenaran dan di arahkan patah balik serta dikenakan kompaun.
“Dari segi pematuhan di kawasan kampung-kampung pula, Alhamdulillah.
“Setakat ini, semua ketua polis daerah memaklumkan, tiada kompaun dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tinjauan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Kuala Dungun di SJR Kampung Nibong, di sini semalam
Dalam tinjauan tersebut, sebanyak 10 lokaliti melibatkan 2,898 buah rumah dengan 13,974 penduduk dikenakan sekatan selama dua minggu bermula hari ini.
“Lokaliti ini besar melibatkan lima SJR dengan 12 laluan kecil yang perlu dipantau.
“Dalam dua minggu ini, kita menempatkan anggota dengan kekuatan 50 orang untuk kawalan selama 24 jam.
“Kita juga mengadakan unit bermotosikal ‘deploy’ dari masa ke masa,” katanya.
Rohaimi turut menasihatkan supaya masyarakat dapat sabar dengan situasi supaya tidak penularan tersebar lebih jauh.
“Saya faham ini hari raya korban, tapi harap masyarakat faham dan terima dengan hari terbuka.
“Kita masih dalam PKPD serta tidak jauh dengan kawasan PKPD lain, jadi kami tidak mahu ia merebak ke kawasan baharu dan akhirnya susah di kawal,” katanya.
Sumber: TRDI News