Haram Ambil Hak Orang Lain Walaupun Satu Sen

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Mengambil hak orang lain walaupun bernilai satu sen tetap haram.

Demikian ditegaskan oleh Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron, berhubung kejadian wang tunai sebanyak RM60,000 milik seorang individu tercicir dari kereta di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok, Besut minggu lalu.

“Jika hak orang, ia tetap hak orang dan haram mengambilnya walaupun satu sen,” katanya.

Justeru, beliau berkata mana-mana individu yang terambil duit berkenaan supaya memulangkan semula kepada pemiliknya.

“Memang haram jika kita mengambil hak orang lain. Kita kena kembalikan semula duit yang diambil ini kepada pemilik sebenar walaupun satu sen.

“Pernah berlaku selepas daripada peperangan ada yang mengambil tali kasut dan tidak diagihkan seolah-olah mengambil dari api neraka,” katanya ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Selepas enam hari kejadian berlaku, pemuda itu yang keciciran wang RM30,000 hanya memperoleh semula RM1,000 apabila ia dipulangkan seorang wanita.

Dalam kejadian Rabu lalu, Wan Ibrahim Wan Leh, 24, kehilangan kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah RM60,000 yang diletak atas but keretanya terjatuh di jalan kira-kira jam 11 pagi.

Mangsa dikatakan terlupa meletakkan beg berisi wang tunai di atas but kereta jenis Honda Civic sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank untuk menyimpan wang itu.

Beg itu diletak di atas but ketika Wan Ibrahim membersihkan kereta tetapi terlupa mengambilnya dan hanya tersedar beg berkenaan terjatuh sebaik tiba di bandar Jertih kira-kira 10 minit kemudian, lalu berpatah balik ke tempat kejadian.

Kejadian itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis kedai berhampiran.

– BERITA HARIAN