KOTA BHARU – Harga makanan di bazar Ramadan di Kelantan menyaksikan kenaikan antara 50 sen hingga RM2 berikutan peningkatan kos bahan mentah.
Tinjauan di bazar pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV mendapati, harga ayam percik yang sebelum ini dijual antara RM8 hingga RM9 naik kepada RM10, manakala roti john pula sebelum ini dijual antara RM6 hingga RM7 naik kepada RM8 selain kenaikan membabitkan kuih muih terutama yang berasaskan telur.
Peniaga mengakui terpaksa menaikkan harga jualan disebabkan kos bahan mentah yang tinggi.
Bagaimanapun, sambutan terhadap bazar Ramadan pada hari pertama Ramadan sangat menggalakkan dan kebanyakan pengunjung tetap membeli seperti biasa walaupun berlaku kenaikan harga.
Pengunjung, Muhd Rusmizan Johari, 39, mengakui berlaku kenaikan harga makanan berbanding tahun sebelumnya namun dia tetap teruja untuk membeli.
“Memang ada sedikit kenaikan dan kita faham kerana kos bahan mentah pun naik. Namun saya tetap membeli seperti biasa dan hari ini saya membeli lemak lembu bakar serta pelbagai kuih muih.
“Asalkan harga tidak naik terlalu tinggi, kita tetap beri sokongan kepada peniaga,” katanya ketika ditemui semalam.
Pengunjung, Azrul Iskandar Ibrahim, 28, turut mengakui perkara sama dan dia mengambil dengan meninjau harga terlebih dahulu sebelum membeli.
“Apa yang saya lihat hampir kesemua juadah berlaku kenaikan harga dan kita sebagai pembeli perlu bijak dalam berbelanja.
“Saya yakin di bazar Ramadan lain pun sama juga situasi kerana kos bahan mentah naik,” katanya.
Sementara itu, peniaga lauk pauk termasuk ayam percik, Nor Hafiru Yamin, 43, berkata dia terpaksa menaikkan harga makanan disebabkan kos bahan mentah yang semakin tinggi.
“Lebih 10 tahun saya berniaga di bazar Ramadan dan saya terpaksa menaikkan harga makanan bagi mengelak berlaku kerugian.
“Sebelum ini saya jual ayam percik RM9 seketul, namun tahun ini naik kepada RM10. Bagaimanapun saya akan pastikan saiz ayam bersesuaian dengan harga yang dijual,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN