Harga Makanan Sudah Masak Sukar Dikawal – PM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Kerajaan mengakui agak sukar untuk mengawal harga makanan yang telah dimasak berbanding dengan barangan yang mentah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan tiada garis panduan berhubung perkara itu setakat ini.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengambil tindakan.

“Sebagaimana disebut oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bahawa peniaga boleh dikenakan tindakan mengikut bidang kuasa kementerian itu dan paling penting pengguna tidak ditekan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai sambutan pengunjung terhadap bazar Ramadan, Ismail berkata, peniaga yang ditemuinya menyatakan ia sangat menggalakkan.

“Kalau kita lihat banyak gerai sudah kosong. Saya beli martabak pun sudah habis dan nampaknya jualan sangat bagus. Kita harap cuaca begini berterusan,” katanya.

Menyentuh mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Ismail berkata, kesemua pengunjung memakai pelitup muka.

“Penjarakan fizikal sudah tidak diwajibkan pada 1 April namun kita masih perlu membuat kawalan kendiri bagi mengurangkan jangkitan penularan wabak Covid-19.”

“Kalau terlalu sesak, elakkan kawasan tersebut dan ibu bapa yang membawa anak kecil juga harus bertanggungjawab terhadap kesihatan anak mereka,” tambah beliau.

Sumber: AWANI