Harga Racun Naik 199 Peratus

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mendedahkan harga racun serangga meningkat sehingga 199 peratus, iaitu daripada RM66 kepada RM197.50.

Selain itu, racun kulat turut mencatatkan peningkatan 20.77 peratus, diikuti racun siput hampir 20 peratus, baja sebatian tiara blue (19.4 peratus), Agrobridge (19.1 peratus) dan NPK biru (14.5 peratus).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata kenaikan harga itu di luar kawalan MAFI berikutan peningkatan harga pasaran dunia, sekali gus memberi kesan langsung kepada pengeluaran ditanggung petani.

Sehubungan itu, katanya, pihak kementerian memperkenal langkah alternatif dengan menggalakkan pengurangan kebergantungan dan peralihan baja kimia kepada organik, selain memperkenal pelbagai pendekatan serta pengembangan perkhidmatan bagi jangka panjang.
“Antara inisiatif dengan mengaplikasikan teknologi efektif mikroorganisma (EEM), menggalakkan penggunaan semula bahan sisa pertanian seperti pereputan jerami padi dan baja organik serta memperkenalkan penggunaan sisa pertanian jerami padi sebagai medium tanaman.

“Menggunakan cacing sebagai ejen pengkomposan sisa pertanian, pengamalan pengurusan perosak bersepadu (IPM) iaitu kombinasi kaedah tanaman secara kultura serta kawalan fizikal dan biologi.


“Namun, ini adalah langkah jangka panjang dan tidak lari daripada kebergantungan penggunaan baja kimia dan kaedah pertanian konvensional yang diamalkan (petani di negara ini),” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai langkah alternatif mengurangkan dan usaha jangka panjang menghapuskan penggunaan racun sintetik tanpa menjejaskan produktiviti, malah hasil pengeluaran dapat ditingkatkan.

Menjawab soalan asal kaedah mengawal dan mengurus trend lonjakan harga bekalan baja dan racun, Ronald berkata, Perdana Menteri baru-baru ini, mengumumkan beberapa langkah intervensi, khusus bagi membantu petani dan pesawah terjejas. Ia membabitkan dana RM200 juta sebagai pinjaman agro makanan pada kadar faedah sifar peratus dengan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan disediakan di bawah TEKUN Nasional dan Agrobank.


Selain itu, peruntukan tambahan RM62 juta melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi subsidi dan insentif padi di bawah Bajet 2022, di mana bantuan subsidi racun makhluk perosak bagi pesawah dinaikkan dari RM200 sehektar semusim kepada RM300.
“MAFI juga sudah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk kerajaan menawarkan insentif tambahan kepada petani terjejas.

“Ia masih di peringkat penelitian dan perbincangan lanjut bersama MOF. Kerajaan akan terus mengambil langkah menangani kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas dan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga stabil dan berpatutan,” katanya.
Mengenai faktor mempengaruhi kenaikan harga, Ronald berkata, ia dikenal pasti berlaku akibat perubahan dasar negara pengeksport mengurangkan bekalan, kenaikan kos bahan mentah membabitkan hasil petroleum dan sumber asli, peningkatan kos logistik serta kadar tukaran mata wang asing.

Katanya, kenaikan harga itu sememangnya membebankan petani dan pengusaha sehingga mengakibatkan peningkatan kos pengeluaran, sekali gus mengurangkan pendapatan golongan terbabit.

Beliau berkata, kumpulan petani terkesan dengan kenaikan harga baja dan racun adalah seramai 276,621 orang, merangkumi tanaman buah, sayur, ladang atau kontan, kelapa, bunga-bungaan, herba dan rempah ratus, dengan keluasan bertanam 405,509 hektar. “Seramai 356,000 pesawah dengan keluasan tanaman 608,000 hektar turut terkesan.

“Secara umumnya, petani mengalami peningkatan kos input pertanian sebanyak 21 peratus bagi kategori sayur daun dan 17 peratus masing-masing bagi kategori sayur buah dan buah-buahan berikutan peningkatan harga baja dan racun.”Pesawah mengalami peningkatan kos sebanyak 11.9 peratus, khususnya disebabkan peningkatan harga racun,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN