Kota Bharu: Bekalan sayur-sayuran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong masih mencukupi untuk menampung permintaan pengguna selain harganya juga sudah mulai stabil berbanding sebelum ini.
Tinjauan di RTC Tunjong mendapati, sebahagian besar peniaga mengatakan, bekalan sayuran masih lagi mencukupi bagi menampung keperluan pengguna.
Peniaga sayur, Zarina Yusof, 44, berkata, pada masa sama, harga sayur menunjukkan penurunan sehingga RM3 sekilogram sejak dua minggu lalu bergantung kepada jenis sayuran.
“Antara harga sayur-sayuran yang turun termasuk timun batang yang dijual pada harga RM4 sekilogram berbanding RM5 sekilogram sebelum ini.
“Lada solok pula dijual pada harga RM16 sekilogram berbanding RM25 sebelum ini. Bagaimanapun, ada sayuran yang mengalami kenaikan harga seperti terung yang dijual pada harga RM9 sekilogram berbanding RM6 sekilogram sebelum ini, kacang bendi pada harga RM14 sekilogram berbanding RM8 sekilogram dan cili padi merah pada harga RM12 sekilogram berbanding RM9 sebelum ini,” katanya ditemui di RTC Tunjong.
Sementara itu, Azmi Mat Noor, 58, berkata, dia tidak menolak kemungkinan harga sayuran akan kembali meningkat menjelang Tahun Baru Cina.
“Selain itu, mungkin akan berlakunya kekurangan bekalan sayur disebabkan pekerja ladang di Cameron Higlands bercuti. Saya jangka harga sayur akan naik dalam tempoh seminggu dua lagi.
“Bagaimanapun, tidak boleh dinafikan kenaikan harga tetap berlaku tetapi bukan ketika ini kerana pemborong masih mengekalkan harga lama,” katanya.
Sumber: My Metro