Hari Mendaki Pahang Bakal Promosi Bukit Terkenal Di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kerajaan negeri melalui Tourism Pahang akan mengadakan Hari Mendaki Pahang (PHD) pada 23 Januari depan, dalam usaha mempromosikan pelancongan terutama kawasan berbukit yang menarik di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata PHD itu akan diadakan serentak di 11 daerah di Pahang. Aktiviti pendakian itu membabitkan bukit yang terpilih di setiap daerah dan turut merancang mengadakan siaran langsung melalui Facebook.

“Kerajaan negeri bersetuju untuk mengadakan PHD ini sebagai acara tahunan dalam usaha mempromosikan destinasi pelancongan menarik di negeri ini. Pemilihan aktiviti pendakian kerana ia tidak memerlukan kos yang mahal iaitu hanya memerlukan kasut yang bersesuaian dan pakaian yang lengkap,”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Tourism Pahang dan Asia Brotherhood Centr (ABC) bagi mempromosikan produk pelancongan di Pahang.

Melalui MoU itu, Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ABC bersetuju membantu mempromosikan produk pelancongan Pahang yang menjadi tarikan. Antara tarikan itu ialah industri desa, produk kraftangan, restoran, inap desa, chalet, agro pelancongan serta kebudayaan dan kesenian.

Sebagai contoh, di Temerloh popular dengan ikan patin, Maran (kuih tradisional), Rompin (udang galah dan Taman Negeri Rompin) dan Raub (durian Musang King) dan banyak tarikan di daerah lain. – BERITAHARIAN