Gua Musang: Penternak lembu di Rancangan Tanah Felda Perasu, di sini, kerugian lebih RM25,000 apabila tujuh ekor ternakannya dibaham harimau sejak sebulan lalu.
Kejadian terbaru jam 7 pagi semalam apabila seekor lembu dibaham harimau di kawasan ladang sawit.
Ibrahim Derani, 64, berkata, dalam kejadian itu, anaknya yang sedang menghalau 30 lembu dalam ladang terserempak dengan harimau berkenaan.
Katanya, anaknya melihat harimau berkenaan mengheret seekor anak lembu sejauh 50 meter.
Dia berkata, sebaik ternampak harimau itu, anaknya bergegas melarikan diri kerana bimbang diancam haiwan berkenaan.
“Selepas kejadian itu, anak masih ketakutan memasuki ladang sawit kerana khuatir harimau berkenaan masih berada di ladang.
“Bukan lembu ternak saya saja yang menjadi mangsa dibaham harimau itu malah lembu rakan lain sejak sebulan lalu,” katanya.
Seorang lagi peneroka Felda Perasu, Deraman Omar, 75, berkata, masalah harimau yang kerap ditemui berkeliaran dalam ladang sawit amat membimbangkan.
Katanya, ia boleh mengancam keselamatan kerana ladang sawit itu menjadi tempat peneroka mencari rezeki.
Dia berkata, sejak haiwan itu ditemui dalam ladang sawit, peneroka takut untuk ke ladang setiap hari.
“Saya harap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera untuk menangkap haiwan itu,” katanya.
Katanya, keadaan yang paling menakutkan apabila harimau terbabit berkeliaran di kawasan penempatan peneroka.
Sumber: My Metro