Harimau Kumbang Betina Masuk Perangkap

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KEMAMAN – Seekor harimau kumbang betina berjaya ditangkap pada Ahad selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sebuah ladang sawit di Cherul dekat sini.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, harimau kumbang seberat 45 kilogram itu berjaya ditangkap selepas perangkap tersebut dipasang sejak 8 Ogos lepas.

Menurutnya, operasi menangkap harimau kumbang berkenaan melibatkan enam anggota Perhilitan Daerah Kemaman.

“Perangkap dipasang selepas menerima aduan daripada pekerja ladang susulan harimau kumbang itu dikesan berkeliaran di kawasan ladang itu.

“Jadi dengan tertangkapnya harimau kumbang tersebut pada pagi Ahad itu dapat mengurangkan kerisauan pekerja ladang untuk melakukan kerja mereka di ladang tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Kean Seong menyatakan harimau kumbang dewasa itu berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan.

Tambahnya, harimau kumbang tersebut akan dilepaskan ke hutan simpan yang bersesuaian dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, Kean Seong turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar.

“Jangan sesekali mengambil tindakan sendiri dengan mengejar atau melakukan provok terhadap haiwan itu demi keselamatan diri.

“Jadi segera menghubungi pihak Perhilitan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” jelas beliau.

– SINAR HARIAN