HANOI: Dua peledak berbisa Vietnam, Nguyen Quang Hai dan Nguyen Tien Linh dianggap berpotensi menjadi senjata pemusnah impian besar Harimau Malaya dalam pertembungan Kumpulan B saingan Piala AFF 2022 di Stadium My Dinh, di sini, malam ini.
Quang Hai dan Tien Linh yang berusia 25 tahun sudah berpengalaman merobek gawang Malaysia dalam tiga pertembungan terakhir antara skuad Golden Star Warriors dan Harimau Malaya sejak 2019.
Quang Hai meledak gol tunggal ketika menewaskan Malaysia 1-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia, dua tahun lalu dan turut menyumbang satu jaringan pada perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF 2020 yang mana Vietnam menang 3-0.
Pemain kelab divisyen 2 Perancis, Pau FC itu memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa apabila sudah 46 kali membuat penampilan bersama pasukan negaranya.
Tien Linh yang menyumbang satu gol ketika Vietnam menumbangkan Malaysia 2-1 pada kelayakan Piala Dunia, tahun lalu pula dilabel sebagai antara pemain terbaik dalam generasinya ketika ini.
Penyerang kelab Becamex Binh Duong itu sudah mengumpul 13 gol bersama skuad antarabangsa Vietnam sejak 2018 dan membuat 32 penampilan.
Keupayaan meledak jaringan dan kepantasan dimiliki dua pemain itu meletakkan mereka sebagai senjata utama Vietnam yang harus dirantai rapi oleh pertahanan Harimau Malaya.
Ketiadaan Khuzaimi Piee yang mengalami kecederaan menyaksikan tugas berat bakal dipikul ‘kereta kebal’ Harimau Malaya, Sharul Nazeem Zulpakar bersama beberapa calon berpotensi lain termasuk Dominic Tan untuk menyekat pergerakan anak buah Park Hang Seo.
Bagi Malaysia, Darren Lok mungkin menjadi senjata rahsia Harimau Malaya bagi memerangkap Vietnam apabila dia tidak diturunkan ketua jurulatih, Kim Pan Gon ketika membelasah Laos 5-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Turut menarik perhatian, aksi di Stadium My Dinh yang berkapasiti 40,000 penonton menjadi pertembungan pertama Pan Gon dengan Hang Seo selepas dia diumumkan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaysia, awal tahun ini.
Ia juga bakal menyaksikan pertarungan dua taktikal Korea Selatan dengan Pan Gon menggalas misi besar untuk meleburkan rekod tanpa kalah Hang Seo ke atas Malaysia sejak dia mengemudi Vietnam pada 2017.
Seandainya berjaya mengejutkan Vietnam, ia sekali gus menamatkan badi lapan tahun Malaysia ke atas pasukan itu selepas kali terakhir Harimau Malaya menewaskan juara dua kali itu pada separuh akhir Piala AFF 2014.
Apa yang membimbangkan ketika ini adalah keadaan barisan pemain negara yang terpaksa mengharungi jadual padat termasuk menempuh perjalanan ke gelanggang lawan dan bakal beraksi dalam cuaca sejuk di Hanoi.
Golden Star Warriors boleh dikatakan memiliki banyak kelebihan kerana selain beraksi di gelanggang sendiri, mereka juga mendapat rehat lebih lama berbanding Harimau Malaya apabila tidak terbabit dengan perlawanan selepas membelasah Laos 6-0 pada aksi pertama, Rabu lalu.
Sumber: BERITA HARIAN