PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengutip cukai melebihi RM100 bilion sejak 2011 hingga kini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nizom Sairi, berkata kutipan diperoleh itu adalah pencapaian yang sangat cemerlang berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Apa yang lebih membanggakan ialah pencapaian membuat kutipan cukai diiringi kos kecekapan pungutan yang rendah pada setiap tahun, iaitu tidak melebihi RM2 bagi setiap RM100 cukai langsung yang dikutip,” katanya berucap pada Majlis HASiL dan Media: ‘An Evening to Remember’ di sini, malam ini.
Mohd Nizom berkata, HASiL akan sentiasa merangka strategi bagi memudahkan pematuhan cukai secara sukarela berteraskan inovasi dengan memanfaatkan sumber sedia ada dan proses penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Antara strategi yang akan dilaksanakan ialah memudahkan urusan pembayar cukai dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang boleh dicapai secara dalam talian dan digital di bawah inisiatif ‘Go Digital for Future Services’.
“HASiL juga akan meningkatkan pemahaman dan kesedaran cukai dalam kalangan rakyat melalui sesi libat urus dan pemantapan aktiviti pendidikan cukai,” katanya.
Sumber: Berita Harian