PANDEMIK telah mewujudkan trend fesyen yang menggambarkan perasaan seseorang seperti sedih, tertekan serta kecewa.
Gaya ‘hate-wear’ pertama kali diperkenalkan oleh New York Times. Tidak seperti namanya, ia menekankan tentang fungsi sesuatu pakaian dan bukan sekadar kerana ia popular dan ikutan.
“Ramai ketika ini yang bekerja dari rumah dan jangan terkejut kerana pilihan fesyen juga berubah mengikut keadaan,” tulis penulis New York Times, Reyhan Harmanci.
Reyhan menjelaskan contoh pakaian gaya itu termasuklah seluar bersenaman dengan ukuran oversize yang dipadukan dengan sweater.
Ia juga memberi lambang tertekan dan dalam kesedihan.
Sementara itu, majalah Esquire pula mempopularkan istilah ‘sad-wear’ selepas diperkenalkan editornya, Charlie Teasdale.
Charlie menggambarkan koleksi gaya itu lebih kepada kebangkitan daripada perasaan sedih dan tertekan namun masih terkesan akibat pandemik.
Malah gaya ini kata Charlie sangat popular dalam kalangan selebriti seperti Harry Styles, Justin Bieber dan Jared Leto. Ini termasuklah pijamas, hoodie dan seluar senaman.
Bagaimanapun tidak kira apa juga perasaan seseorang itu, Charlie memberitahu pakaian itu sebenarnya sangat selesa terutamanya apabila berada di rumah.
Sumber: mStar