Hati-Hati Ikut Fesyen, Ketahui Hukum Pakai Kuku Palsu Dengan Tujuan Nak Cantik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Hiasan kecantikan merupakan fitrah wanita. Pada asalnya hiasan kecantikan adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak namun hiasan kecantikan yang dipakai mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh agama.

Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada pada badan, pakaian atau tempat. Tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (yakni halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.

Kuku palsu merupakan salah satu aksesori yang gemar dipakai wanita. Kuku palsu merupakan sambungan dan diletakkan ke atas kuku sebagai aksesori fesyen.

Sebahagian kuku tiruan ini ada yang direka menyamai rupa bentuk kuku asal. Terdapat juga ada yang direka sememangnya berbeza bagi menampakkan nilai artistik.

Tidak seperti kebanyakan manicure (penjagaan dan perawatan kecantikan kuku), kuku palsu memerlukan penjagaan yang rapi. Si pemakai perlu menghadiri salun rawatan kuku sekurang-kurangnya setiap dua minggu sekali, dan dikatakan ia boleh bertahan sehingga sebulan.

Tidak dinafikan bahawa kepelbagaian kuku palsu dari sudut saiz, corak, reka bentuk dan ketahanan yang tinggi meletakkan aksesori lebih terkedepan berbanding jenis rawatan kecantikan kuku yang lain.

Bagaimana pandangan Islam mengenai penggunaan kuku palsu?

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah menjelaskan Islam sememangnya mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik.

Terdapat hadis yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud, katanya:

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat al-Bukhari, 4886)

“Hadis ini menunjukkan semua perkara tersebut adalah haram dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar.

“Jika pemakaian kuku palsu merupakan suatu keperluan seperti melindungi bahagian kulit kuku asal yang tercabut atau tujuan rawatan atau seumpamanya, maka diharuskan.

“Manakala sekiranya pemakaian kuku palsu demi kecantikan tambahan semata-mata, maka perkara itu tidak dibenarkan oleh syarak kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT,” katanya.

Seseorang yang memakai kuku palsu dengan tujuan rawatan dan perubatan, mestilah mengikut beberapa piawaian atau syarat iaitu pemakaiannya tidak menghalang air untuk sampai ke kulit sewaktu mengambil wuduk dan juga mandi wajib.

Begitu juga, hendaklah ia dicipta daripada bahan yang suci lagi halal, di samping rupa bentuknya pula tidak terlalu menyerlah atau melampaui rupa bentuk kuku asal.

Bahan yang digunakan mestilah selamat dan baik untuk digunakan.

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, boleh disimpulkan seperti berikut:

1. Jika pemakaian kuku palsu tersebut atas sebab keperluan yang mendesak seperti untuk melindungi bahagian kulit kuku asal yang tercabut atau untuk tujuan rawatan atau seumpamanya, maka ia diharuskan.

2. Sekiranya pemakaian kuku palsu itu demi kecantikan tambahan semata-mata tanpa sebarang keperluan yang lain, maka perkara itu tidak dibenarkan oleh syarak kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT.

3. Mereka yang memakainya dengan tujuan rawatan dan perubatan, mestilah mengikut syarat iaitu pemakaiannya tidak menghalang air untuk sampai ke kulit sewaktu mengambil wuduk dan juga mandi wajib.

4. Begitu juga, hendaklah ia daripada bahan yang suci lagi halal, di samping rupa bentuknya pula tidak terlalu menyerlah atau melampaui rupa bentuk kuku asal. 

Sumber: MSTAR