Hati-hati Ikut Fesyen, Ketahui Hukum Pakai Kuku Palsu Dengan Tujuan Nak Cantik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Hiasan kecantikan merupakan fitrah bagi seorang wanita itu pada asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang agama.

Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada pada badan, pakaian atau tempat. Tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (yakni halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.

Salah satu aksesori yang gemar dipakai wanita adalah kuku palsu yang merupakan sambungan diletakkan ke atas kuku sebagai aksesori fesyen.

Sebahagian reka bentuk kuku tiruan ini ada yang direka menyamai rupa bentuk kuku asal sehampir-hampirnya, begitu juga ada yang direka sememangnya berbeza bagi menampakkan nilai artistik.

Bagaimana Pandangan Islam Mengenai Penggunaan Kuku Palsu?

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah menjelaskan Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya.

Hal ini kerana, terdapat hadis yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud yang telah bersabda bermaksud:

“Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah, merenggangkan gigi untuk kecantikan dan mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat al-Bukhari, No. 4886)

“Hadis ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar.

“Jika pemakaian kuku palsu itu kerana suatu keperluan seperti melindungi bahagian kulit kuku asal yang tercabut atau tujuan rawatan atau seumpamanya, maka diharuskan.

“Manakala sekiranya pemakaian kuku palsu demi kecantikan tambahan semata-mata, maka perkara itu tidak dibenarkan oleh syarak kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT,” katanya.

Luqman menambah mereka yang memakainya dengan tujuan rawatan dan perubatan, mestilah mengikut beberapa piawaian atau syarat iaitu pemakaiannya tidak menghalang air untuk sampai ke kulit sewaktu mengambil wuduk dan juga mandi wajib.

Begitu juga, hendaklah ia dicipta daripada bahan yang suci lagi halal, di samping rupa bentuknya pula tidak terlalu menyerlah atau melampaui rupa bentuk kuku asal.

Berdasarkan Kepada Perbahasan dan Perbincangan di Atas, Boleh Disimpulkan Seperti Berikut:

1. Sekiranya, pemakaian kuku palsu tersebut atas sebab keperluan yang mendesak seperti untuk melindungi bahagian kulit kuku yang tercabut atau tujuan rawatan atau sebagainya, maka ia diharuskan.

2. Manakala, pemakaian kuku palsu itu demi kecantikan tambahan semata-mata tanpa sebarang keperluan yang lain, maka perkara itu tidak dibenarkan oleh syarak kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT. Apatah lagi perbuatan tersebut secara jelas mengandungi unsur penipuan dan pembaziran.

3. Bagi mereka yang memakainya dengan tujuan rawatan dan perubatan, ia mestilah meraikan beberapa syarat iaitu pemakainnya yang tidak menghalang air untuk sampai ke kulit semasa mengambil wuduk dan juga mandi wajib.

4. Ia juga hendaklah daripada bahan yang suci dan halal, di samping rupa bentuknya tidak terlalu menyerlah atau melampaui rupa bentuk kuku asal. Manakala, bahan yang digunakan mestilah selamat dan baik untuk digunakan.

Sumber: MSTAR