LONDON – Carlo Ancelotti memuji hatrik ‘menakjubkan’ Karim Benzema ketika pemain itu membantu Real Madrid menang 3-1 berdepan Chelsea yang membuatkan juara bertahan Liga Juara-Juara itu hampir tersingkir selepas perlawanan pertama suku akhir sebentar tadi.
Benzema menampilkan persembahan terbaik di Stamford Bridge apabila penyerang Perancis itu meledak dua kali pada babak pertama menerusi tandukan sempurna.
Kai Havertz mengurangkan defisit sebelum tamat babak pertama namun Benzema menghukum kesilapan penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy pada babak kedua untuk melengkapkan hatriknya.
Ia adalah hatrik kedua berturut-turut dilakukan Benzema dalam Liga Juara-Juara selepas membantu kebangkitan epik menewaskan Paris Saint-Germain pada perlawanan kedua kelompok 16 terakhir.
Skuad kendalian Ancelotti kini di kedudukan petak pendahulu untuk mara ke separuh akhir apabila mereka kembali ke Madrid bagi perlawanan kedua pada 12 April.
Selepas tewas kepada Chelsea dalam separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, Real kini ada peluang membalas dendam itu di Bernabeu.
“Kami mencipta persembahan menakjubkan di depan daripada Benzema,” kata Ancelotti.
“Dia semakin bagus setiap hari. Dia bermain sangat baik. Ia malam yang bagus.
“Kami ada kelebihan tetapi kami amat menghormati pasukan yang juga juara bertahan Liga Juara-Juara.”
Kali terakhir Real menang 13 gelaran dimiliki mereka ialah pada 2018.
Walaupun mereka bukanlah pilihan tahun ini, namun kemenangan hebat di London adalah petunjuk jelas peningkatan pendahulu La Liga itu.
Bersama 11 gol musim ini, Benzema menjaringkan lebih banyak gol berbanding mana-mana pemain Perancis dalam satu kejohanan Piala Eropah, mengatasi 10 gol dilakukan Just Fontaine pada 1958-59.
“Ada malam yang magis. Hari ini kami menang, menunjukkan bahawa kami adalah Real Madrid,” kata Benzema.
“Kami bermain baik sejak minit pertama. Ia adalah gol yang penting.”
Sumber: BERITA HARIAN