Hatrik Mahrez Bawa Man City ke Final Piala FA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Jaringan hatrik Riyad Mahrez membantu Manchester City menamatkan kemarau kekalahan di separuh akhir Piala FA dengan meraih kemenangan 3-0 ke atas pasukan divisyen dua, Sheffield United di Wembley.

Selepas tersingkir tiga musim berturut-turut di separuh akhir, pasukan kendalian Pep Guardiola yang sedang memburu gelaran trebel, akhirnya menamatkan badi berkenaan tanpa perlu bermandi peluh.

Sheffield yang berada di landasan terbaik ke Liga Perdana Inggeris (EPL) memulakan perlawanan dengan baik hampir di keseluruhan babak pertama namun Mahrez yang menemui jaringan pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-43.

Mahrez berjaya menembusi pertahanan goyah lawan untuk menjadikan keputusan 2-0 pada minit ke-61 sebelum melengkapkan jaringan hatriknya lima minit kemudian, hasil hantaran rendah Jack Grealish.

Lebih manis, ia adalah jaringan hatrik pertama dalam aksi separuh akhir Piala FA selepas kali terakhir dilakukan Alex Dawson ketika Manchester United menentang Fulham pada 1958.

“Kualiti Riyad yang kami lihat selama bertahun-tahun di negara ini, juga dengan Leicester,” kata Guardiola mengenai pemain yang tidak selalu dijamin tempat permulaan di City.

“Dia seorang pesaing yang mempunyai mentaliti besar. Mempunyai cita-cita besar untuk menjaringkan gol. Menjaringkan gol pada penghujung babak pertama adalah sangat penting.”

City tidak dibolosi dan menjaringkan 17 gol untuk mara ke final Piala FA buat kali ke-12, dengan kemungkinan bertemu Manchester United sekali gus menjadi pertembungan seteru Manchester pertama di pentas kemuncak saingan.

United akan berdepan Brighton & Hove Albion dalam satu lagi perlawanan separuh akhir malam ini.

Selepas berada dalam kedudukan selamat ke final, Guardiola mengeluarkan Grealish dan peledak berbisa mereka, Erling Haaland yang bakal menjadi tonggak penting untuk pertembungan dengan Arsenal Khamis ini.

City juga mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan akan berdepan penyandang juara, Real Madrid.

Dalam pada itu, kekalahan nyata mengecewakan Sheffield yang kali terakhir menjuarai Piala FA hampir 100 tahun lalu meskipun keutamaan mereka adalah kembali ke kancah EPL selepas tersingkir pada 2021.

– BERITA HARIAN