Sempena Hari Pelarian Sedunia, Pelakon Hollywood dan Wakil Khas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) Angelina Jolie telah melawat kem pelarian di Burkina Faso bagi mengangkat kesedaran mengenai isu pelarian yang semakin hari semakin meningkat , lapor Sputnik dengan memetik UNHCR. Meskipun berada di salah satu kem pelarian, Jolie menyatakan bahawa beliau terharu dengan layanan baik yang diterima oleh masyarakat setempat.
“Saya terharu dengan kasih sayang dan layanan baik yang ditunjukkan oleh mereka yang saya temui di Burkina Faso. Tujuan saya di sini adalah untuk menunjukkan solidariti dengan penduduk di sini, yang sentiasa bersedia menerima kehadiran saudara mereka yang terpaksa menjadi pelarian disebabkan keganasan atau serangan di tempat asal mereka,” kata Jolie.
Aktres Hollywoord terkenal itu telah melawat Kem Guodoubo yang terletak itu bahagian Utara negara Burkina Faso itu. Beliau turut menekankan bahawa 82 juta orang di seluruh dunia kini terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dan sepanjang 20 tahun bersama UNHCR keadaan itu semakin membimbangkan.
“Hakikatnya, kita belum pun melakukan separuh daripada apa yang sepatutnya dan kita perlu berganding bahu mencari jalan keluar agar mereka boleh pulang ke tempat asal mereka”
Jolie menambah bahawa masyarakat antarabangsa menangani masalah secara “salah” dan “tidak adil” dan meminta agar masyarakat antarabangsa mencari solusi bagi mengurangkan jumlah pelarian secara global.
Kem Pelarian di Burkina Faso
Burkina Faso dibanjiri dengan pelarian dari wilayah Sahel di barat dan tengah Afrika. Sejak 2019, lebih 1.2 juta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat serangan pengganas sejak 2015 yang menyasarkan orang awam dan berisiko melakukan tindakan kejam seperti melepaskan tembakan mahupun serangan bom. Lebih separuh penduduk Burkina Faso menganut agama Islam.
Semua para pelarian menetap di khemah yang disediakan di kawasan kem pelarian dan kebanyakannya adalah terdiri dari golongan wanita. Mereka juga sukar mendapat akses kesihatan yang baik di kawasan kem pelarian tersebut.
Pembiayaan UNHCR di Burkina Faso adalah antara yang paling sedikit.
Sumber : Sputnik News