Helah guna borang rentas negeri palsu gagal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bentong: Dua lelaki ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan, semalam, kerana disyaki memalsukan borang rentas negeri.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pegawai dan anggota bertugas menahan sebuah kenderaan yang dinaiki oleh dua lelaki berusia 25 dan 34 tahun.

“Mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Tanah Merah, Kelantan.

“Ketika diperiksa, anggota mendapati dokumen perjalanan rentas negeri kedua-dua lelaki terbabit meragukan dan disyaki dipalsukan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, polis juga percaya cop dan tandatangan Ketua Polis Balai yang meluluskan surat itu disyaki dipalsukan.

“Pegawai yang bertugas menghubungi balai polis yang mengeluarkan permit pergerakan untuk pengesahan.

“Semakan mendapati nombor siri pada borang rentas negeri itu tidak wujud dan tiada sebarang permohonan permit pergerakan dibuat kedua-dua lelaki terbabit,” katanya.

Zaiham berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, sehingga 29 Mei, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menahan tujuh individu kerana pemalsuan dokumen borang rentas negeri.

Sumber: My Metro