Hentakan Punca Kematian Kanak-Kanak 11 Tahun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Punca kematian kanak-kanak 11 tahun di sebuah rumah anak yatim dan miskin di sini adalah disebabkan oleh kesan hentakan di kepala.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata ini berdasarkan hasil laporan bedah siasat mangsa.

“Post mortem telah pun dibuat dan saya difahamkan kecederaan mangsa bukanlah akibat dicekik. Itu bukanlah punca kematian mangsa.

“Punca kematian mangsa adalah akibat blunt object, terhentak dan perkara ini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perbarisan Sempena Hari Polis Ke-215 Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Turut menerima sijil penghargaan pada majlis berkenaan adalah wartawan daripada Unit Komunikasi dan Media Pahang, Cik Nurul Ain Nadhirah Basharludin.

Beliau berkata suspek berusia 16 tahun kini masih ditahan reman sehingga 27 Mac ini namun tidak dapat mengulas lanjut berkaitan kes ini disebabkan kes ini melibatkan kanak-kanak.

“Pihak polis masih melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes ini,” katanya.

Untuk rekod, pada 20 Mac lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia di bangunan surau asrama berkenaan di antara jam 3.45 hingga 4.15 petang.

Mangsa dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh suspek yang juga senior mangsa sehingga tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia ketika ingin menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Kejadian disedari penyelia asrama yang juga pengadu berusia 35 tahun selepas mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa tiga penghuni lain termasuk suspek.

Sementara itu, beliau berkata siasatan kes pembunuhan pengamal perubatan Mohamad Abdul Rahim yang ditemui maut disyaki ditembak dalam sebuah rumah berhampiran Bukit Rangin Perdana 2, pada 4 April tahun lepas masih diteruskan.

“Tiada petunjuk baharu setakat ini dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk diminta tampil”

Sumber: PAHANG MEDIA