KOTA BHARU, 25 Nov — Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menasihatkan penduduk negeri ini supaya membiasakan diri mengamalkan normal baharu dalam kehidupan, termasuk menghentikan sementara budaya bersalaman supaya dapat mengekang penularan pandemik COVID-19.
Beliau berkata sehingga kini, pihaknya menerima laporan budaya tersebut masih berlaku dalam kalangan segelintir penduduk, sekali gus menyukarkan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.
“Buat masa ini, tidak perlu bersalaman….lebih baik kita berhati-hati,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKNK) di sini, hari ini.
Mengambil kira peningkatan kes COVID-19 di Kelantan serta seluruh negara, Ahmad berkata kerajaan negeri juga akan mempertingkatkan usaha untuk menambah baik penyampaian maklumat berhubung prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Bagi memastikan setiap maklumat benar-benar difahami, insya-Allah kita akan minta semua agensi terlibat khususnya Jabatan Penerangan, malah mungkin pihak masjid atau dalam khutbah kita memberi penekanan tentang kesedaran mengenai COVID-19 atau SOP PKPB,” katanya.
Jumaat lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB di Kelantan berkuat kuasa dari 21 Nov hingga 6 Dis ini, bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksana saringan secara bersasar serta mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di seluruh negeri itu.
Setakat semalam, enam kes positif COVID-19 baharu dilaporkan di Kelantan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 294 kes di negeri berkenaan.
Sumber: BERNAMA