Hidalgo Mahu Lupakan Episod Malang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Penyerang Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo meluahkan nada kecewa selepas gagal membantu pasukannya meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini.

Lebih mengecewakan bekas pemain skuad Bawah 20 Tahun (B-20) Argentina itu apabila pasukannya mudah ‘diratah’ jiran, Terengganu FC (TFC) dengan agregat 9-3 pada aksi pusingan 16 biarpun akui skuad lawan lebih berhak layak ke peringkat ke suku akhir.

Tambah pemain berusia 23 tahun itu, prestasi pasukan yang tidak konsisten selain pertukaran ketua jurulatih pada pertengahan Liga Super dilihat sedikit sebanyak memberi kesan buat pasukannya.

Namun katanya, kehadiran semula jurulatih, Datuk Dollah Salleh berjaya menyuntik semangat pemain untuk kembali bangkit, tapi ianya sudah terlewat, justeru dia mahu melupakan ‘tragedi’ malang itu sebaliknya tekad mahu membina keazaman baharu musim depan.

“Pasukan ini memiliki potensi pada musim ini berdasarkan pemain tempatan dan import yang ada selain sentuhan semula Datuk Dollah.

“Secara keseluruhan pun saya berpuas hati dengan prestasi diri selepas musim kedua bersama Sri Pahang FC, tapi saya perlu banyak lagi mengutip ilmu.

“Dengan kontrak berbaki setahun sahaja lagi, saya berazam bangkit semula tahun depan untuk membantu pasukan ini melakar kejayaan.

“Sekarang saya mahu pulang dan berehat bersama keluarga, lagipun tiada apa yang perlu difikirkan,” katanya ketika ditemui selepas berakhir pertemuan menentang TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam kelmarin.

Musim ini, pemain lincah itu menjaringkan tujuh gol, namun gagal membantu pasukannya menduduki kedudukan lebih baik dalam carta Liga Super selepas hanya menduduki tempat ketujuh dan terkandas di peringkat suku akhir saingan Piala FA.

Sumber : BERITA HARIAN