SETIAP ujian daripada Allah SWT adalah untuk memperakukan iman yang yang benar. Allah SWT berfirman: “Patutkah manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah al-Ankabut ayat 2
Kita perlu menerima setiap ujian sebagai pelindung kepada iman kita sebagaimana vaksin melindungi diri daripada penyakit. Oleh itu, sesiapa yang bersabar atas ujian Allah SWT bermakna dia seolah-olah menyuntik vaksin iman dalam dirinya untuk menetapkan keimanan dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar:” Surah al-Baqarah ayat 155
Manusia adalah makhluk yang lemah. Ia dapat dibuktikan apabila manusia menghidapi penyakit. Penyakit adalah ketentuan Allah SWT. Ia akan berlaku kepada setiap manusia tanpa mengira seseorang itu taat kepada Allah SWT atau sebaliknya. Namun, setiap individu menghidapi penyakit berbeza.
Namun, jika seseorang diuji dan dia bersabar atas ujian tersebut, pasti Allah akan mengurniakan kepadanya kelebihan yang banyak. Sebagaimana firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” Surah al-Zumar ayat 10
Dalam konteks sunah Rasulullah SAW, banyak hadis mengenai matlamat dan hikmah daripada ujian Allah SWT ke atas hambanya. Antaranya ialah setiap kesabaran atas ujian Allah SWT akan menghapuskan dosa.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan menimpa kepada orang Muslim suatu kepayahan, sama ada penyakit fizikal atau spiritual, kesedihan, penganiayaan dan sebagainya. Dia juga tidak akan tertusuk duri sekecil apa pun melainkan dosanya diampuni Allah.” Riwayat Bukhari
Bahkan, Rasulullah SAW menegaskan dosanya akan berguguran sebagaimana gugurnya daun kering dari pokok. Riwayat Muslim
Seseorang apabila ditimpa ujian oleh Allah, itu adalah tanda bahawa ia akan diangkat darjat di sisi Allah. Saidatina Aisyah RA menceritakan: “Tidaklah seseorang Muslim itu tertusuk duri dan seumpamanya melainkan ditulis baginya satu darjat (ketinggian) dan dihapuskan daripadanya satu dosa (kerana sabar).” Riwayat Muslim
Allah SWT menetapkan kepada kita darjat (kedudukan tinggi) di sisi-Nya. Namun, jika dilihat amalan yang kita lakukan semasa di dunia ini tidak mencapai kedudukan itu maka Allah SWT menguji kita. Tujuan-Nya adalah untuk mengangkat darjat kita.
Manusia pastinya akan sentiasa menghadapi ujian daripada Allah SWT sebagaimana ujian pandemik wabak Covid-19 yang kita sedang hadapi sekarang ini. Namun, kita sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT yakin pastinya ada sebab dan hikmah di sebalik musibah ini.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang hamba itu sakit atau musafir akan ditulis pahala amalannya sebagaimana dia bermukim dan sihat.” Riwayat al-Tabrani
Menjadi matlamat hidup manusia ialah mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah berfirman: Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan (kehilangan) dua kekasihnya (kedua-dua matanya) kemudian dia bersabar, nescaya Aku menggantikan kedua-duanya (dua matanya) dengan syurga.” (Riwayat Bukhari)
Begitulah besarnya kurniaan Allah SWT kepada orang yang bersabar di atas ujian daripada-Nya. Maka, menjadi kewajipan kita semasa pandemik ini tetap bersangka baik dengan Allah SWT dan menerima dengan reda.
Tegasnya, walaupun pelbagai reaksi terhadap penerimaan vaksin Covid-19, vaksinasi untuk iman dan takwa adalah suatu kemestian. Kita mesti mempertahan dan meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT meskipun berada dalam apa jua keadaan sekalipun.
Di samping terus menjaga kesihatan masing-masing agar tidak terjerumus kepada penyakit berbahaya, yakinlah dengan segala hikmah yang dijelaskan Rasulullah SAW.
Janganlah dengan ujian dan musibah yang Allah SWT turunkan ini menjadikan kita kalah atau menggadaikan iman. Allah SWT mengingatkan kita supaya sentiasa beriman dan bertakwa.
FirmanNya: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” Surah Ali Imran ayat 102
Sumber: HARIAN METRO